Pages

Monday, July 20, 2015

CERIA BERAYA DI RUMAH BAHARU


Ceria beraya di rumah baharu


Tumpat – Setelah hampir tujuh bulan mendiami rumah yang hampir runtuh akibat banjir kuning penghujung tahun lalu, keluarga Mohd Azam Abdul Hamid, 59, akhirnya ceria apabila menyambut 1 Syawal di rumah baharu.

Rumah terbabit sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) untuk mangsa banjir di daerah ini.

Mohd Azam berkata, rumah yang hampir runtuh yang didiami itu adalah rumah sewanya di kampung Tanjung Kuala dan terpaksa menetap di situ kerana tiada pilihan.

“Sewa rumah lama saya itu hanya RM100, untuk saya berpindah ke rumah sewa yang lain, saya tidak mampu kerana kadar sewa rumah sekarang paling murah pun RM300,” katanya yang bekerja sebagai tukang kebun.

Menurutnya, selama tujuh bulan dia bertahan dan mendiami di ruang tamu dalam keadaan berhimpit sebelum menerima rumah baharu ini.

Isterinya, Azizah Mohamad, 49, berkata, dia bagaikan tidak percaya menerima sebuah rumah yang begitu selesa dilengkapi tiga bilik yang dibina Maik di atas tanah kerajaan.

Menurutnya, di sebalik musibah banjir kuning yang melanda negeri ini ada hikmah di sebaliknya apabila dia yang tidak mempunyai rumah dan tanah akhirnya dapat memiliki rumah sendiri.

Katanya, Aidilfitri tahun ini amat bermakna dalam hidupnya apabila anak-anak seramai empat orang dapat beraya di rumah yang cukup selesa.

Penyerahan kunci rumah disempurnakan oleh Timbalan Yang Dipertua Maik, Datuk Serpudin Mohamad.

Hadir sama, Ketua Jajahan Tumpat, Mohd Sobri Ramli.

Serpudin berkata, keseluruhan rumah sumbangan Maik untuk mangsa banjir di daerah ini dibina sebanyak enam buah.

“Empat daripadanya termasuk rumah Mohd Azam dibina di kampung Jubakar Pantai di atas tanah kerajaan yang bernilai setiap satunya RM51,000. Manakala dua lagi dibina di kampung Tanjung Kuala,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor