Pages

Sunday, July 26, 2015

CEDERA RUSUK KIRI DIRAGUT


Cedera rusuk kiri diragut


Batu Pahat – Pengalaman diragut sewaktu membeli minuman di sebuah gerai, menjadikan suri rumah, Azlina Jamaludin, 32, trauma apabila didekati atau berselisih dengan penunggang motosikal.

Menurutnya, kejadian ragut yang dialaminya di Jalan Parit Bilal, di sini, pada Isnin lalu menyebabkannya mengalami kecederaan di rusuk kirinya, selain luka di siku serta lutut kanannya.

Katanya, semasa kejadian, dia berada di sebuah gerai untuk membeli minuman dan sedang dia leka membeli minuman, dia dihampiri seorang penunggang motosikal yang bertindak menendang dan merentap beg tangannya.

“Saya yang tergamam dengan keadaan berkenaan dan tidak mampu berbuat apa-apa, selain hanya mengerang kesakitan setelah terjatuh akibat daripada ditendang oleh lelaki terbabit.

“Akibat daripada tendangan itu, saya turut mengalami kecederaan di beberapa anggota badan terutamanya di tangan dan kaki, selain rusuk kiri” katanya.

Tambahnya, kejadian ragut berkenaan turut menyebabkan dia kerugian kira-kira RM2,000 setelah beberapa barangan peribadinya serta wang tunai dilarikan.

"Walaupun kejadian itu berlaku dengan pantas, dia dapat mengecam wajah dan identiti suspek yang telah meragutnya.

“Saya dapat mengecam lelaki berkenaan, kerana suspek sememangnya saya kenal, dan saya percaya dia telah lama memerhatikan saya dan keluarga," katanya.

Azlina berkata, takut dengan kejadian berkenaan berulang, dia telah membuat laporan polis untuk keselamatan diri dan keluarganya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor