Meskipun leka menyambut Hari Raya Aidilfitri, ibu bapa atau keluarga yang mempunyai anak, abang, suami atau ayah sebagai banduan penjara perlu menziarahi mereka.
Menurut Timbalan Penguasa Penjara Kajang, Mohd Noor Abu Bakar, bagi banduan di penjara, ziarah dari keluarga terdekat ketika menyambut Syawal amat bermakna buat mereka.
“Ibu bapa dan masyarakat perlu tahu bahawa mereka yang berada di sini menjalani pemulihan rohani yang sangat mendalam. Mereka sudah insaf. Berilah kemaafan buat mereka. Sebagai manusia, kita semua pernah berbuat salah.
“Saya berasa kesal bagi ibu bapa atau keluarga yang mengabaikan anak mereka di penjara. Di bulan Syawal, biasanya kami anjurkan program Jalinan Kasih sempena Syawal untuk memberi peluang kepada banduan untuk bersama keluarga dalam menyambut Aidilfitri,” katanya dalam temu bual bersama Sinar Online.
Program Jalinan Kasih Aidilfitri merupakan sebuah program anjuran pihak penjara yang bertujuan mempertemukan banduan dengan keluarga mereka di bulan Syawal.
Program tersebut diadakan hanya sekali pada bulan Syawal setiap tahun dan terhad kepada 50 buah keluarga.
Menurut Mohd Noor lagi, hanya 50 banduan yang berkelakuan baik dipilih untuk menyertai program tersebut.
“Memilih banduan yang berkelakuan baik akan menjadi satu masalah buat kami kerana di sini, kesemua mereka baik-baik belaka. Mereka ikut program pemulihan yang kami tetapkan untuk mereka dan kebanyakan daripada mereka tidak pernah buat masalah sejak berada di sini.
“Yang buat saya rasa sedih, ada ibu bapa yang sanggup membiarkan anak mereka menunggu kehadiran mereka dalam program itu. Bayangkanlah, banduan lain berpeluang berjumpa, memeluk dan mencium tangan ibu bapa, memeluk anak dan isteri, tetapi seorang banduan ni hanya duduk seorang diri menunggu keluarganya untuk berjumpa dengannya.
“Ia memberi kesan kepada banduan tersebut. Mereka di sini sedang melalui proses pemulihan. Keluarga khususnya perlu membantu mereka dengan memberi sokongan secara berterusan buat mereka,” ujarnya lagi.
Ditanya mengenai tindakan bijak pihak penjara sebagai usaha menangani situasi tersebut, Mohd Noor berkata, pada kebiasaannya, pihaknya akan menenangkan banduan tersebut.
“Apabila keluarga banduan yang ditunggu tidak datang, kamilah (pihak penjara) yang akan ‘memujuk’ banduan itu. Biasanya kami beritahu banduan keluarganya ada masalah yang tidak dapat dielakkan dan bukan sengaja untuk tidak datang pada hari tersebut.
“Kami akan beritahu dia (banduan) bahawa kami akan hubungi keluarganya untuk mengetahui sebab mereka tidak muncul seperti yang dijanjikan. Selepas itu kami akan beritahu dia. Biasanya atas masalah kecil sahaja. Tetapi mereka lebih memilih untuk tidak datang dari bersemuka dengan anak mereka,” luahnya kesal.
Penjara Kajang yang terletak di Selangor merupakan penjara terbesar di negara ini. Penjara ini mempunyai blok penempatan dan jumlah sel yang paling banyak.
“Kami ada unit-unit khas yang bertugas memantau keadaan semasa dan juga banduan. Kami ada Unit Keselamatan Penjara, unit K9 (unit anjing), Unit Pegawai Penjara, Unit Pemantau dan Unit Pemeriksa.
“Setiap hari kiraan banduan akan dilakukan mengikut jadual dan kekerapan yang telah ditetapkan. Kami tidak pernah berhadapan dengan masalah dengan setiap banduan setakat ini. Mereka diperiksa setiap hari dan setiap kali mereka keluar masuk sel penjara masing-masing,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor