Bertugas sebagai Setiausaha Kedua (Pentadbiran) di Kedutaan Besar Malaysia di Rom, Itali, menjadikan sambutan Ramadan dan Syawal sangat bermakna bagi keluarga Rohaizad Abdul Lateh, 38 dan isterinya, Noraniza Adnan, 38 serta dua orang anak mereka, Nur Dania Qaisara, 11 dan Rezza Akif Rahimi, 8.
Sesuai dengan Aidilfitiri yang bakal tiba, tidak dinafikan perasaan sedih mulai melanda perasaan mereka sekeluarga yang tahun ini merayakannya di Itali.
“Memanglah perasaan sedih tetap wujud. Kami tetap terkenangkan ibu dan ayah, sanak saudara dan adik beradik dan mahu sangat bersalaman memohon maaf. Sememangnya suasananya sangat berbeza.
“Namun mujur isteri saya yang pandai memasak pelbagai juadah hari raya sedikit sebanyak dapat menghindar daripada rasa sedih itu. Kami tetap menikmati juadah hari raya seperti nasi himpit, kuah kacang, nasi minyak, pelbagai jenis biskut dan hidangan pencuci mulut,” ujar Rohaizad dan keluarganya yang ditemui di Kedutaan Besar Malaysia di Rom, Itali.
Isterinya Noraniza yang yang berasal dari Yong Peng, Johor bercuti bertugas kerana mengikut suami menjalankan tanggungjawab di Rom berkata, beliau seberapa boleh akan mencipta suasana hari raya di rumah.
“Kami tetap berpakaian baju raya dan turut melakukan ziarah ke Masjid Besar Rom. Kemudian akan berkunjung ke rumah sahabat-sahabat senegara yang bertugas di sini dan sekitarnya. Kunjung mengunjung dan saling bermaafan adalah momen manis yang kami akan kenang sampai bila-bila,” ujar Noraniza.
Isterinya Noraniza yang mendapat pendidikan Diploma Pengajian Perniagaan UiTM Segamat, Johor turut membantu menanam rasa cinta anak-anak mereka yang belajar di American Oversea School of Rom (AOSR) terhadap tanah air.
“Perkara ini penting. Mereka perlu diingatkan tentang tanahair, rasa sayangkan Malaysia, ingat semua kenangan manis di tanahair dan tidak lupa kepada juadah kegemaran mereka di Malaysia seperti kueteow, mi kari, dan ketupat rending,” ujarnya.
Antara tugas seharian Rohaizad di Kedutaan Besar Malaysia di Rom, Itali adalah merangkumi hal-hal pentadbiran pejabat, urusan kewangan, urusan protokol bagi lawatan VVIP dan kerja-kerja konsular iaitu menangani masalah rakyat Malaysia di Itali (kematian, pendaftaran kahwin/kelahiran, kehilangan passport dan sebagainya).
“Selain itu, kami turut membantu rakyat Malaysia yang ditimpa kesusahan semasa di Itali. Antara kesusahan yang sering melanda rakyat Malaysia di Itali adalah menjadi mangsa jenayah kecurian (pickpocket) yang menyebabkan mangsa terdampar sementara di Itali kerana kehilangan passport serta kesemua wang ringgit.
“Bila perkara sebegini terjadi, pihak Kedutaan akan cuba sedaya upaya membantu seadanya mangsa. Jenayah seperti curi beg dan pickpocket agak berleluasa terutama sekali di Milan dan Rom.
Kini terdapat seramai 300 rakyat Malaysia kini berada di Itali. Sebilangan kecil daripada bilangan ini merupakan ahli professional dan ahli perniagaan.
Terdapat juga pelajar-pelajar Malaysia yang mendalami ilmu dalam pelbagai jurusan seperti jurusan senibina, design, fesyen serta jurusan Agama Kristian. Sebahagian besar daripada bilangan ini mengikut pasangan masing-masing,” ujarnya.
Pada kesempatan ini mereka sekeluarga ingin mengucapkan Salam Ramadan dan Selamat Menyambut Aidilfitri kepada ibu bapa, adik beradik, sanak saudara dan semua kenalan di tanahair. Mohon Maaf Zahir dan Batin.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor