Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua perlu dikecualikan daripada terlibat dalam siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, langkah itu bagi memastikan kredibiliti PAC tidak dipertikai berikutan terdapat dakwaan Setiausaha Publisiti DAP itu bertemu dengan bekas Eksekutif PetroSaudi International Ltd, Xavier Andre Justo di Singapura.
“Saya awal-awal lagi telah mencadangkan kepada Tony untuk kecualikan dirinya. Saya guna bahasa yang berlapik, saya nampak macam dia tahu begitu banyak tentang soal dan masalah 1MDB.
“Dakwaan terhadap Tony ini melibatkan integriti PAC sebagai jawatankuasa penting dalam Parlimen yang diberi kedudukan istimewa dalam Perlembagaan,” katanya kepada pemberita dalam majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen di sini hari ini.
Dalam satu laporan sebelum ini, bekas pengarang Sarawak Tribune, Lester Melanyi memberitahu, beliau telah berjumpa Justo di London yang mengakui telah menemui beberapa pemimpin pembangkang dari negara ini yang ingin membeli maklumat untuk memburukkan kerajaan berkaitan 1MDB.
Shahrir dalam pada itu mempertikaikan sikap Tony yang masih berdolak-dalik untuk membuat pengakuan sama ada beliau menemui Justo atau tidak seperti yang didakwa.
Katanya, Tony perlu menyatakan pendiriannya sebagaimana beliau secara terbuka mengaku bertemu Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.
“Kalau saya yang jumpa Justo, saya akan cakap, saya akan mengaku. Seperti saya pergi jumpa Arul. Orang kata Pengerusi BNBBC pergi jumpa Arul, apa pula konspirasinya?
“Kalau Ahli Parlimen pembangkang berjumpa dengan seseorang yang mempunyai maklumat tentang kerajaan dan pemerintah, cakaplah, apa salahnya? Memang kerja pembangkang mencari keburukan kerajaan,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor