London - "Saya berasa lega dan gembira dapat pulang ke rumah, saya sedar kesilapan bodoh saya dan berasa sangat kesal dengan kesalahan yang menyebabkan penduduk Malaysia marah, saya benar-benar mohon maaf."
Begitulah kata-kata Eleanor Hawkin, salah seorang pelancong yang dipenjara kerana berkelakuan tidak sopan dengan berbogel di puncak Gunung Kinabalu pada 30 Mei lalu.
Muncul di hadapan rumah keluarganya di Draycott, Derbyshire, Eleanor memohon maaf kepada rakyat Malaysia yang percaya bahawa tindakannya telah menyebabkan gempa bumi yang meragut nyawa.
Sementara itu, ibunya, Ruth berkata, keluarganya berasa lega Eleanor selamat sampai ke rumah selepas melalui detik trauma buatnya.
"Kita tahu dia telah melakukan kesalahan dan tidak hormat kepada budaya sesuatu negara dan dia telah memohon maaf di atas kesilapannya itu"
"Eleanor telah dikenakan hukuman oleh mahkamah di Malaysia dan kes ini telah ditutup," katanya dipetik Metro.uk.
Lima pelancong dari negara barat itu bertindak menanggalkan pakaian masing-masing apabila berjaya tiba di puncak Gunung Kinabalu pada pagi 30 Mei lepas.
Insiden itu membangkitkan kemarahan dalam kalangan masyarakat di Sabah, khususnya penduduk tempatan Kundasang kerana pelancong itu tidak menghormati adat resam tempatan apatah lagi berlaku pula gempa bumi Jumaat lepas yang turut menggegarkan Gunung Kinabalu dan mengorbankan sejumlah pelancong dan malim gunung.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor