Pages

Monday, June 15, 2015

RAUB: PENIAGA WAJIB PAMER TANDA HARGA


Peniaga wajib pamer tanda harga


Peniaga Bazar Ramadan juga perlu mempamerkan tanda harga pada produk jualan mereka walaupun perniagaan tersebut dijalankan hanya pada Ramadan sahaja.

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi Usahawan dan Kepenggunaan Negeri, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin berkata, tindakan tegas mengikut akta yang ada akan diambil ke atas peniaga yang ingkar meletakkan tanda harga tersebut.

Menurutnya, seramai 600 anggota pengkuat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pahang serta 1,000 anggota skuad pemantau akan turun padang membuat pemantauan berterusan sepanjang Ramadan melibatkan peniaga di pasar, pasar malam, kedai dan pasaraya.

“Jika ada yang melakukan kesalahan tidak mempamerkan tanda harga atau jual dengan harga mahal atau barangan luput tarikh, tindakan tegas tanpa amaran akan diambil ke atas peniaga tersebut.

“Kerajaan sentiasa memandang serius terhadap peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang pada musim perayaan,” katanya kepada media selepas penyampaian peruntukan Ramadan kepada masjid dan surau dalam kawasan Parlimen Raub, semalam.

Beliau dalam pada itu turut mengingatkan pemilik premis perniagaan makanan termasuk restoran yang menghidangkan juadah bufet Ramadan agar mendapatkan sijil halal daripada pihak berkuasa.

“Ketiadaan sijil tanda halal tersebut boleh mengelirukan dan meragukan pelanggan. 

“Oleh itu peniaga, premis dan restoran dinasihatkan supaya mendapatkan kelulusan terlebih dahulu, jika tidak tindakan tegas boleh diambil ke atas mereka yang berdegil,” katanya.

Shahiruddin berharap, peniaga dan premis perniagaan sentiasa mematuhi peraturan pihak berkuasa jika tidak mahu tindakan dikenakan ke atas mereka.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor