Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyediakan peruntukan khas sebanyak RM3,000 sebagai modal kepada peniaga bazar Ramadan memulakan perniagaan mereka tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan Negeri, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin berkata, peniaga bazar Ramadan dipelawa memohon peruntukan khas terbabit.
“Mereka perlu mendapat sokongan Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil di kawasan masing-masing sebelum memajukan permohonan kepada KPDNKK negeri untuk dipertimbangkan,” katanya.
Tambahnya, sehingga kini seramai 515 peniaga kecil di negeri ini telah diberi kelulusan peruntukan khas terbabit membabitkan nilai lebih RM1.54 juta.
“Kerajaan negeri mensasarkan sekurang-kurangnya 700 peniaga kecil ini memperoleh pinjaman khas Ramadan ini.
“Skim bantuan tersebut sebagai merangsang lebih ramai peniaga kecil di negeri ini menjalankan perniagaan sekali gus memberikan sumber pendapatan tambahan kepada mereka,” katanya.
Katanya, berdasarkan statistik, lebih 1,000 peniaga mendapat bantuan di bawah skim pasar Ramadan tahun lepas yang memberi banyak faedah kepada mereka.
Dalam pada itu, Shahiruddin menerima sumbangan sebuah van jenazah berharga RM113,855 daripada Risda yang kemudiannya akan diserahkan kepada Persatuan Kebajikan Islam Mukim Dong di Rumah Rehat Raub, kelmarin.
Majlis penyerahan terbabit turut dihadiri Adun Batu Talam, Datuk Abdul Aziz Mat Kiram, Pengarah Risda Pahang, Wan Ahmad Shabri Zainuddin Wan Mohamad dan Pegawai Daerah Raub, Datuk Khairulanuar Mahmood.
Shahiruddin turut menegaskan, kerajaan negeri komited menggalakkan peniaga kecil menjalankan perniagaan pada Ramadan nanti.
Beliau turut mengingatkan, peniaga kecil ini meneruskan perniagaan masing-masing walaupun di luar bulan Ramadan kerana kerajaan ada skim bantuan untuk membantu peniaga baharu.
“Bagi menyokong melahirkan lebih ramai peniaga, setiap Majlis Daerah menyediakan lebih banyak tapak perniagaan bagi memudahkan lebih peniaga kecil menjalankan perniagaan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan peniaga bazar Ramadan menjaga kebersihan, kualiti makanan dan menjual produk makanan dengan harga yang berpatutan dan tidak membebankan pengguna.
“Peniaga juga diingatkan agar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan pada Ramadan dan musim perayaan Aidilfitri tahun ini.
“Tindakan tegas akan diambil ke atas mereka oleh pihak berkuasa di bawah Akta Jualan dan Anti Pencatutan jika masih berdegil melanggar peraturan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor