Pages

Sunday, June 7, 2015

PENGHARGAAN BUAT 'UNSUNG HEROES' GEMPA BUMI


Usaha cari enam pendaki diteruskan hari ini


Ranau - Kerajaan akan mempertimbangkan untuk memberi penghargaan khas kepada malim gunung yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter di Gunung Kinabalu pada Jumaat lalu.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menyifatkan malim gunung terbabit sebagai 'unsung heroes', berkata mereka telah melakukan kerja yang terbaik.

Ini termasuk menyelamat pendaki yang terkandas di Gunung Kinabalu dan membawa turun mangsa yang tercedera kesan daripada gegaran gempa bumi itu, katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat mengenai bencana tersebut di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam sidang media berasingan, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata Muhyiddin meminta beliau untuk menyenaraikan malim gunung yang terlibat secara langsung dalam operasi itu.

Beliau berkata kerajaan akan memberi penghargaan terhadap jasa, usaha dan komitmen mereka dalam membantu pasukan penyelamat.

Kerajaan, katanya, bersetuju menyumbang sebanyak RM1,000 kepada setiap malim gunung yang terlibat bagi menunjukkan penghargaan atas keprihatinan mereka.

Sebanyak 250 malim gunung berdaftar di bawah Persatuan Malim Gunung Kinabalu.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor