Ipoh - Gara-gara menawarkan rasuah sebanyak RM50, seorang buruh lelaki warga Bangladesh dihukum penjara enam hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh semalam.
Bagaimanapun, Alamin (seperti yang tertera dalam kertas pertuduhan), 34, terpaksa meringkuk di dalam penjara selama dua bulan selepas gagal membayar denda.
Hakim Rihaida Rafie menjatuhi hukuman berkenaan selepas Alamin mengaku melakukan kesalahan itu di depan sebuah kedai runcit di Jalan Taufil, Pengkalan Hulu pada 4.15 petang 2 Jun lepas.
Beliau memerintahkan Alamin menjalani hukuman penjara mulai tarikh dia ditangkap.
Mengikut pertuduhan, Alamin menawarkan RM50 kepada Konstabel Mohamad Faizal Ab Samad yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Pengkalan Hulu sebagai dorongan untuk melepas adiknya, MD Suman, kerana menunggang motosikal tanpa lesen.
Dia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 berdasarkan mana lebih tinggi.
Terdahulu, Alamin yang tidak diwakili peguam meminta hukuman ringan atas alasan dia terpaksa menyara isterinya yang sedang sakit, seorang anak lelaki berusia dua bulan dan anggota keluarga lain di Bangladesh.
Ketika membentangkan fakta kes, Pegawai Pendakwa SPRM Yang Ah Lay berkata, Mohamad Faizal menahan MD Suman dan mengarahkannya ke Balai Polis Pengkalan Hulu untuk tindakan lanjut selepas mendapati dia tidak memiliki lesen memandu.
Beliau berkata, pada ketika itu, Alamin tiba di lokasi kejadian untuk merayu agar adiknya dilepaskan serta menghulurkan wang berkenaan kepada Mohamad Faizal dan ketika ditanya "Ini duit apa", tertuduh berkata "Ini duit untuk settle."
Mohamad Faizal memberi amaran kepada Alamin bahawa tindakan itu adalah salah namun tertuduh tetap merayu agar adiknya dilepaskan dan sekali lagi menghulurkan RM50 kepada anggota polis berkenaan.
Mohamad Faizal kemudian bertindak menahan tertuduh dan menyerahkannya kepada SPRM untuk tindakan lanjut.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor