Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) akan mengendalikan operasi perkhidmatan kereta api Metro Line menghubungkan Arafah, Muzdalifah dan Mina mulai musim haji 2015, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata, syarikat Malaysia itu menggunakan tenaga kerja lebih 7,000 pekerja dengan 300 daripadanya adalah rakyat Malaysia.
Katanya beliau berterima kasih kepada kerajaan Arab Saudi atas penganugerahan kontrak mengendalikan perkhidmatan pengangkutan itu kepada Prasarana.
Najib menyatakan penghargaan tersebut dalam pertemuannya dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz al-Saud selama 30 minit di Istana As-Salam di sini, semalam.
Bercakap kepada wartawan Malaysia selepas pertemuan itu, Najib berkata, Prasarana dilantik sebagai pengendali untuk Jeddah-Metro Jeddah dan berharap pada masa akan datang dapat mengendalikan perkhidmatan Monorel.
Prasarana juga sedang meneliti peluang dalam penyediaan infrastruktur di Qatar sebagai persediaan negara itu mengendalikan pertandingan bola sepak Piala Dunia pada 2018, katanya.
Pada pertemuan itu, Najib diiringi oleh Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Najib juga berkata, beliau juga menyuarakan hasrat Tabung Haji kepada Putera Mahkota, Mohammed bin Naif al-Saud berhubung usaha membangunkan pusat-pusatnya di Makkah dan Madinah.
Sebelum ini, Prasarana memenangi bida sebagai 'pengendali bayangan' bagi Fasa Pertama Metro Program Pengangkutan Awam Makkah (Makkah Metro).
Sebelum ini, Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, sebagai pengendali bayangan, Prasarana akan menyediakan perkhidmatan rundingan dalam bidang pengendalian dan penyelenggaraan kepada Syarikat Transit Rel Massa Makkah semasa pembinaan Fasa Pertama Makkah Metro.
Pembinaan itu meliputi dua jajaran dengan 22 stesen di sepanjang 45.1 kilometer termasuk 24.9km rangkaian rel bawah tanah.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor