“Jangan menuding jari kepada Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) sesuka hati kerana tugas tersebut adalah tanggungjawab agensi yang lain,” demikian respons Yang Dipertua MPK Datuk Zulkifli Yaacob terhadap tuduhan sesetengah pihak berikutan kebanjiran warga asing yang bekerja di restoran dan kedai makan di kawasan pentadbiran itu.
Zulkifli berkata, tuduhan tidak berasas pihak berkenaan adalah tidak tepat kerana tanggapan kerana penguatkuasaan terhadap warga asing membabitkan agensi penguatkuasaan lain.
“Dalam isu ini masyarakat masih beranggapan bahawa sebarang masalah yang dihadapi dikendalikan oleh MPK sedangkan kita lebih kepada memberikan perkhidmatan membabitkan kawasan pentadbiran MPK.
“Sebagai contoh, kutipan sampah dan pemotongan rumput dilakukan agensi lain tetapi masih ramai yang beranggapan bahawa ia di bawah bidang kuasa MPK,” katanya ketika Mesyuarat Penuh MPK di sini, semalam.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya sedia memberikan kerjasama termasuk menyalurkan maklumat kepada agensi penguatkuasaan untuk tindakan selanjutnya.
Dalam perkembangan lain, MPK masih memburu 41 pesalah trafik membabitkan 1,916 kompaun dengan jumlah RM48,700.
Zulkifli berkata, pihaknya akan meneruskan operasi mengesan pesalah berdasarkan alamat yang ada.
Menurutnya, 41 kes yang dikesan itu membabitkan kesalahan tidak meletakkan kupon dan meletakkan kenderaan di luar petak.
“Sebanyak 41 kes di kesan untuk operasi yang dijalankan semalam. Sebelum ini 27 kes sudah di kesan dan tindakan sudah diambil.
“Kebanyakan kes adalah melibatkan jumlah kompaun RM1,500 ke atas dan mengalami tunggakan bertahun-tahun,” katanya.
Zulkifli berkata, MPK perlu bertindak tegas dalam pelaksanaan undang-undang memandangkan pelbagai kompromi sudah diberikan sebelum tindakan mengeluarkan waran tangkap di buat.
Katanya, operasi waran tangkap akan dijalankan secara berterusan agar pesalah menjelaskan tunggakan yang mencecah ribuan ringgit.
Sementara itu Zulkifli berkata, tindakan lebih tegas akan dikenakan terhadap pemilik kenderaan yang didapati meletak kenderaan di kawasan larangan di pantai peranginan Teluk Cempedak.
Beliau berkata, tiada lagi budi bicara sebaliknya tindakan mengunci tayar atau menunda kenderaan yang diletak di luar kawasan dibenarkan adalah tindakan terbaik untuk mendidik pemilik kenderaan.
“Kita mengambil tindakan atas kepentingan orang ramai bukan atas kepentingan individu.
“Ini kerana tindakan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan kesesakan lalu lintas terutama pada cuti hujung minggu hingga memberi imej negatif disebabkan sikap mementingkan diri pemilik kenderaan yang berdegil,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor