Dua pusat penyembelihan di sini bakal berdepan penggantungan sijil halal Malaysia selepas didapati tidak mematuhi peraturan kebersihan yang ditetapkan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip).
Ketua Unit Pengurusan Halal, JAIP, Noridzuan bin Abdul Manan berkata, hasil pemantauan mendapati pusat penyembelihan di kawasan perindustrian semambu dan padang lalang itu tidak menggunakan peralatan bersih.
Menurutnya, sistem kumbahan kedua-dua premis itu juga tidak berkesan dan meninggalkan sisa buangan yang menyebabkan kotoran teruk dan berbau busuk.
“Ia membabitkan kesalahan kecil dalam aspek teknikal tetapi sekiranya berulang dan tiada pembetulan dilaksanakan, tindakan menggantung sijil halal akan dikenakan,” katanya di sini, semalam.
Beliau berkata, pemantauan berkala dilaksanakan bagi memastikan pusat penyembelihan yang menerima sijil halal sentiasa melaksanakan proses penyembelihan mengikut kaedah syarak.
Katanya, pihak pengurusan juga perlu menitik beratkan standard dan dan menepati piawaian yang ditetapkan kerana mereka bukan sahaja menjadi pembekal di daerah ini tetapi di beberapa daerah lain.
Bagaimanapun, katanya, pemantauan yang disertai pegawai Pejabat Agama Daerah Kuantan (Paid) pada jam 4.30 pagi itu mendapati kaedah penyembelihan dilaksanakan mengikut hukum syarak.
“Kita tetap memberi beberapa teguran berkaitan amalan kebersihan kepada kedua-dua pemilik premis supaya menjaga kebersihan,” katanya.
Noridzuan berkata, Jaip memberi tempoh seminggu kepada kedua-dua premis berkenaan untuk memastikan semua peralatan dan kawasan itu bersih dan tidak berbau sebelum pemeriksaan susulan dijalankan.
Menurutnya, Jaip menasihatkan pusat penyembelihan itu lebih komited mematuhi syarat dan prosedur halal bagi memastikan proses penyembelihan menepati hukum syarak.
“Kita tidak mahu mereka mengabaikan aspek kebersihan selaras dengan konsep halalan toyyiba yang sentiasa diuar-uarkan kepada pemilik premis makanan halal di negeri ini,” katanya.
Namun apa yang mendukacitakan katanya, pihak pengurusan tidak mengambil serius berkaitan perkara itu dan masalah aspek kebersihan sentiasa berulang di pusat penyembelihan.
Justeru, beliau meminta pihak pengurusan mengambil langkah proaktif meningkatkan kesedaran berkaitan polisi halal dalam kalangan pekerjanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor