Rangkaian hotel dan restoran di negeri ini yang tidak mempunyai sijil halal yang diiktiraf dilarang sama sekali menggunakan perkataan 'Bufet Ramadan'.
Amaran itu dikeluarkan Jaip bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pelanggan yang mahu berbuka puasa di premis terbabit.
Ketua Unit Pengurusan Halal, Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Noridzuan Abdul Manan berkata, perkataan itu tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya oleh semua pihak tanpa sijil halal yang disahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip).
Menurutnya, antara ungkapan tersebut adalah seperti ‘Bufet Ramadan, ‘Bufet Berbuka Puasa’ dan ‘Iftar’.
“Ia boleh membawa maksud juadah atau makanan yang disediakan berstatus halal serta boleh dinikmati pelanggan Muslim yang mahu berbuka puasa tetapi kita tidak tahu sejauh mana kesuciannya menurut Islam,” katanya di sini, semalam.
Katanya, banyak hotel yang berlumba-lumba mempromosikan bufet Ramadan tetapi pada masa sama tidak komitmen untuk memohon sijil halal.
Noridzuan berkata, pengurusan hotel yang degil dengan amaran berkenaan bakal berdepan dengan tindakan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
“Jika sabit kesalahan boleh Bagi denda tidak melebihi RM200,000 dan bagi kesalahan kedua tidak melebihi RM500,000 bagi pertubuhan perbadanan manakala individu atau bukan satu pertubuhan perbadanan, boleh dikenakan denda tidak melebih RM100,000 atau dipenjara selama tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi kesalahan kedua, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Justeru katanya, Jaip berharap semua pengusaha premis makanan memahami perintah berkenaan dan tidak sesekali melakukan kesalahan yang bertentangan.
Menurutnya, Jaip dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan melaksanakan pemantauan berterusan dan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan perintah itu dipatuhi semua pihak.
“Kita mahu semua pemilik rangkaian hotel dan restoran menjaga kemaslahatan pelanggan khususnya pengguna beragama Islam,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor