Pages

Thursday, June 11, 2015

KMMM SEDIA 100 'WALKIE TALKIE' UNTUK MALIM GUNUNG




KUNDASANG – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan membekalkan 100 unit ‘walkie-talkie’ untuk kegunaan malim gunung sepanjang masa dalam aktiviti mendaki.

Menteri berkenaan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menegaskan perkhidmatan komunikasi memainkan aspek penting, lebih-lebih lagi bagi tujuan mencari dan menyelamat dalam situasi bencana.

“Kami juga akan pasang satu pemancar kerana walkie-talkie juga memerlukan kemudahan itu untuk mencapai liputan yang dirasakan sesuai bagi kawasan pergunungan ini.

“Saya minta tempoh seminggu ataupun dua minggu untuk membawa ke semua walkie-talkie ini,” katanya kepada pemberita di pusat operasi di Taman Kinabalu di sini hari ini bersempena tinjauan beliau ke kawasan yang mengalami kesan gempa bumi berkekuatan 5.9 pada skala Richter di Ranau, Jumaat lepas.

Katanya kementerian juga akan menyediakan ‘dedicated channel’ untuk malim gunung menggunakan frekuensi khas dalam menggunakan walki-talkie itu.

Ahmad Shabery berkata KKMM juga akan berbincang dengan kerajaan negeri dalam usaha mendapatkan insurans bagi semua malim gunung.

Katanya sebahagian daripada dana yang dikumpulkan melalui ‘Tabung Gempa Sabah’ di bawah Tabung Kemanusiaan Komunikasi dan Multimedia Malaysia boleh digunakan bagi tujuan itu.

“Saya akan berbincang dengan pihak kerajaan negeri berhubung kemungkinan sebahagian daripadanya (wang tabung) digunakan untuk permulaan insurans kepada mereka (malim gunung),” katanya.

Ahmad Shabery berkata beliau difahamkan selama ini malim gunung itu tidak pernah diinsurankan ketika bekerja.

“Pendaki yang membayar fee mereka itu termasuk insurans untuk pendaki tetapi tidak ada insurans untuk malim gunung. Jadi ini antara perkara yang kita perlu lihat bersama,” katanya.

Ahmad Shabery berkata dalam tempoh dua hari tabung itu dilancarkan, pihaknya telah mengutip lebih RM50,000.

Dalam kesempatan bertemu dengan sekumpulan malim gunung, menteri itu meminta mereka supaya kekal bersemangat dan terus berkhidmat sebagai malim gunung di Gunung Kinabalu.

“Apa sahaja kerja ada cubaan dan cabarannya…jadi jangan patah semangat untuk menjaga Gunung Kinabalu yang menjadi kebanggaan kepada kita,” katanya. – BERNAMA




No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor