Kundasang - Sampel DNA anggota keluarga dua warga Singapura yang masih hilang susulan gempa bumi di Ranau, Sabah pada Jumaat lepas telah diserahkan kepada pasukan forensik di Hospital Queen Elizabeth, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pasukan forensik akan cuba memadankan DNA itu dengan cebisan bahagian mayat yang dibawa turun dari Gunung Kinabalu, yang turut terjejas oleh gempa bumi bermagnitud 5.9 itu, dalam usaha untuk mengesan dan mengenal pasti kedua-dua mereka, katanya.
Pada sidang media selepas menyampaikan bantuan kerajaan kepada waris keluarga mangsa gempa bumi di sini hari ini, Najib berkata keluarga seorang daripada orang yang hilang telah datang ke Malaysia bagi menjalani ujian DNA manakala keluarga seorang lagi tidak dapat datang tetapi menghantar sampel.
"Saya percaya bahawa proses memadankan sampel DNA itu tidak akan mengambil masa yang lama. Oleh kerana saya bukan seorang pakar mengenai perkara ini, jadi saya menyerahkannya kepada kakitangan forensik, biarlah mereka menjalankan ujian itu," katanya.
Dua warga Singapura yang hilang ialah Navdeep Singh Jaryal s/o Raj Kumar, 13, dan Mohammad Ghazi Mohamed, 35.
Gempa bumi yang menggegarkan Ranau pada 7.15 pagi Jumaat turut dirasai di Tambunan, Tuaran, Kota Kinabalu dan Kota Belud.
Sehingga kini, 16 people orang disahkan terkorban dalam tragedi itu.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor