Pages

Sunday, June 7, 2015

DUA PINGAT EMAS PENYERI SAINGAN HARI KEDUA


Dua pingat emas penyeri saingan hari kedua


Penerjun negara seperti yang dijangka meraih dua pingat emas yang dipertandingkan pada pembukaan acara itu semalam.

Malaysia meraih pingat emas melalui Cheong Jun Hoong dalam acara 3m papan anjal wanita, manakala gandingan Ooi Tze Liang dan Chew Yiwei pula meraih pingat emas dalam acara 10m platform seirama lelaki.

Namun kejayaan penerjun-penerjun di Pusat Akuatik OCBC tidak dapat diteruskan oleh atlet renang untuk mendapatkan enam pingat emas yang ditawarkan semalam.

Kontinjen negara hanya berjaya meraih gangsa melalui Welson Sim dalam acara 200m gaya bebas lelaki manakala yang lain-lain tidak dapat memberi saingan kepada perenang negara lain khususnya dari Vietnam.

Pusat Akuatik OCBC semalam menyaksikan tiga perenang Vietnam dan seorang perenang tuan rumah berjaya mencipta rekod kejohanan yang baharu.

Lebih malang lagi buat kontinjen negara apabila sandaran pingat emas melalui acara 800m gaya bebas wanita, Khoo Cai Lin terpaksa menarik diri di saat akhir akibat masalah kesihatan.

Beliau yang masih belum pulih sepenuhnya daripada penyakit tonsil, mengadu tidak dapat bernafas dengan baik ketika bersaing dalam pusingan kelayakan acara 400m rampaian wanita pada sebelah pagi.

Setakat ini, Malaysia berada di kedudukan kelima dalam senarai pungutan pingat selepas meraih tiga pingat emas, tujuh perak dan 11 gangsa.

Sementara tuan rumah masih terus menerajui carta dengan 17-11-17 dan diikuti Vietnam dan Thailand, masing-masing dengan 13-3-11 dan 10-14-14 pingat.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor