Jika sebelum ini mereka menggunakan bantuan gajah bernama Kala dan Siti, namun kali ini, Kala ditemani pula oleh Rambai untuk membantu memindahkan dua gajah liar di Kampung Chemomoi kelmarin.
Usaha terbabit dilakukan sekumpulan kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Jabatan Perhilitan yang diketuai, Nasaruddin Othman.
Menurut Nasaruddin usaha terbabit dilakukan bagi memindahkan dua daripada sekumpulan sembilan gajah liar yang berjaya ditangkap sebelum ini.
“Seekor gajah betina berusia kira-kira 20 tahun berjaya ditangkap pada 6 Jun lalu manakala seekor lagi gajah jantan berusia lingkungan 12 hingga 13 tahun berjaya ditangkap Selasa lalu.
“Tangkapan ini dibuat ke atas gajah yang mencetuskan panik kepada penduduk Kampung dan Felda Chemomoi, Manchis dan sekitarnya,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua gajah terbabit dipindahkan ke Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut.
“Hasil tangkapan ini, ada kira-kira tujuh atau lapan ekor lagi gajah liar yang masih berkeliaran di kawasan terbabit mengganggu tanaman penduduk sekitar.
“Justeru pihak kami menasihatkan kepada penduduk sekitar agar berhati-hati dengan haiwan terbabit.
“Dinasihatkan penduduk tidak ke kebun di sebelah malam kerana gajah adalah spesies haiwan yang aktif di waktu terbabit,” katanya.
Nasaruddin dalam pada itu mengucapkan terima kasih kepada penduduk terlibat kerana memberikan kerjasama yang baik dalam usaha menangkap gajah terbabit.
Bina pagar elektrik
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Baharu (JKKKB), Wong Choo Yah berkata, pihak kerajaan negeri telah meluluskan untuk membina pagar elektrik di kawasan tanaman penduduk.
“Kini pagar elektrik terbabit masih berada dalam peringkat pembinaan dan dijangka akan siap tidak lama lagi.
“Bagaimanapun, pihak kami masih lagi menerima aduan daripada pekebun yang memaklumkan bahawa ladang dan kebun mereka diganggu gajah,” katanya.
Menurutnya, mewakili penduduk kampung, beliau berharap agar pihak terlibat meneruskan usaha mereka menangkap gajah-gajah liar terbabit.
Penebangan hutan jadi punca
Dalam pada itu, penduduk Kampung Manchis, Lee Ah Kow berkata, penduduk melahirkan rasa kesal dengan gangguan gajah itu yang dikatakan berpunca daripada penebangan hutan di kawasan sekitar.
“Gajah-gajah terbabit kacau kawasan kami sebab habitat mereka juga telah dimusnahkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Apabila mereka dah tak ada tempat untuk dituju dan cari makanan, mereka terpaksa serang kebun penduduk di sini,” katanya.
Sebelum ini menurutnya, terlalu sukar untuk melihat gajah masuk dan memusnahkan kawasan kebun, namun kini mereka terpaksa menghadapi masalah terbabit hampir setiap hari.
“Kami kecewa dengan sikap pihak tidak bertanggungjawab yang memusnahkan habitat asal gajah terbabit tapi dalam masa sama kami harap pihak bertanggungjawab dapat menyelesaikan konflik yang melanda kampung mereka dan sekitar," katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor