“Zero Alpha, this is zero two, contact over. “Zero Alpha roger, berikan lokasi anda”. Perbualan itu masih terngiang-ngiang dalam ingatan seorang bekas juru radio atau lebih dikenal sebagai pronto dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Abdul Samad Dukin, 64, ketika menghantar laporan segera ke ibu pusat sebaik pasukan diserang komunis.
Bagi anak kelahiran Kampung Luit itu, berkhidmat selama 13 tahun dalam tentera (tidak berpencen) mengendalikan alat komunikasi merupakan pengalaman berharga yang sukar dilupakan.
Selain membawa senjata untuk mempertahankan diri, pronto turut mengendong kelengkapan set radio dan memastikan isyarat perhubungan sentiasa dalam keadaan baik agar setiap pergerakan operasi di hutan dilaporkan ke ibu pusat.
Juru radio dalam pasukan tentera merupakan individu penting yang bertanggungjawab terhadap alat perhubungan bagi melaporkan setiap pergerakan pasukan termasuk meminta bantuan kecemasan ketika rakan sepasukan sedang berbalas tembakan.
Kerja di lombong bijih timah
Abdul Samad menerima latihan awal sebagai tentera di Kem Siputeh, Perak pada usia 20 tahun sebelum ke Kem Batu 5, Mentakab dan Kota Bharu serta bertugas dalam Bravo Company Plantun 5 di Batu Melintang, Kelantan selama empat tahun.
Beliau kemudian terpilih untuk mengikuti Kursus Asas Semboyan 3 Briged selama tiga bulan yang menitikberatkan segala bentuk perhubungan radio dan berjaya bergelar seorang ‘signaller’ atau juru radio.
Menurutnya, anggota semboyan dilatih mengenai tata cara suara, telegrafi, organisasi tentera, menghantar dan menerima morse kod serta mengendali semua alat perhubungan.
Setelah berjaya menamatkan kursus dengan cemerlangnya, Abdul Samad ditukarkan semula ke Kota Bharu dengan kali ini sebagai seorang juru radio.
“Sebelum menyertai tentera, saya bekerja di lombong bijih timah di kampung dan mencuba nasib apabila ada temu duga mencari rekrut baru.
“Mulanya hanya mahu sekadar kerja sambilan namun dipilih terus untuk menjalani latihan,” katanya.
Bapa kepada sembilan anak itu berkata, juru radio merupakan anggota yang sentiasa berdamping rapat dengan ketua komander sewaktu pergerakan di hutan.
Bawa beban ke mana sahaja
Di samping itu, beban yang dibawanya sentiasa berat dan tidak akan bertambah ringan walaupun beban anggota lain akan berkurangan kerana rangsum dan mungkin juga peluru dibawa telah digunakan.
Katanya, beban beg pronto bila keluar masuk hutan tidak kurang dengan banyak selepas selesai tugas kerana radio set 906 dengan generator tangan dan dua bateri tetap dipikul.
“Malah menghadapi pelbagai masalah antaranya adalah tidak dapat berhubung akibat ‘skip zone’ dan kerosakan alat perhubungan terutama sewaktu atau lepas diserang komunis selain, terdapat anggota pasukan yang WIA (Wounded In Action) atau KIA (Killed In Action).
“Bukan mudah mahu pasang ‘Daipole Antena’ yang perlu dipusingkan 360 darjah dengan bantuan rakan namun perhubungan tidak juga ‘thru’.
“Mesej ke ibu pusat boleh dihantar dalam bentuk suara atau kod,” katanya.
Abdul Samad berkata, juru radio perlu menghidupkan generator dengan mengayuh tangan sambil bercakap untuk menghantar mesej sekiranya bateri radio kehabisan tenaga.
Menurutnya, sepanjang tempoh bertugas, seorang rakan pasukan ditembak mati komunis ketika melakukan rondaan hutan dan pernah berbalas tembakan ketika operasi namun tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
“Selepas 13 tahun, saya ambil keputusan menamatkan perkhidmatan dan pulang ke kampung untuk menjaga kedua orang tua. Saya bekerja dengan Telekom Malaysia di bahagian berkaitan radio sebelum pencen pada umur 55 tahun,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor