Pages

Saturday, May 9, 2015

TAHAP SAKIT JIWA



Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyifatkan perkhidmatan syarikat telekomunikasi di negara ini berada pada tahap ‘sakit jiwa’ berikutan mengenakan kadar caj begitu tinggi yang tidak setara dengan servis diberikan.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, kadar yang dikenakan kepada pengguna begitu tinggi tidak seperti negara jiran yang lain seperti Indonesia serta Thailand yang jauh lebih rendah.

“Saya tidak faham mengapa caj kadar perkhidmatan untuk syarikat telekomunikasi begitu tinggi sedangkan perkhidmatan mereka begitu teruk dan saya sifatkan berada di tahap sakit jiwa.

“Kawasan liputan juga amat teruk seolah-olah tiada sebarang penambahbaikan dilakukan oleh syarikat dan semata-mata ingin mengaut untung terhadap pengguna,” katanya, di sini, semalam.

Nadzim berkata, pihaknya mencadangkan supaya kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) memikirkan satu mekanisme khusus bagi membolehkan kajian semula terhadap kadar caj telekomunikasi di negara ini.

Beliau turut menegaskan bahawa pengawalan kadar itu oleh agensi kerajaan sangat penting bagi mengelakkan daripada sebarang usaha eksploitasi pihak tertentu.

“Kita lihat kadar caj ini tidak pernah berubah sejak beberapa tahun lalu dan mutu perkhidmatan mereka pula tidak mencerminkan kadar caj yang tinggi. Ini yang kita cuba ubah di masa depan hasil kerjasama dengan agensi kerajaan.

“Selain itu, masalah kadar caj ini bukan isu baru, malah kita merekodkan jumlah aduan banyak terhadap pelbagai masalah termasuk caj tersembunyi,” katanya.





No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor