ROMPIN - Kerajaan negeri menyambut baik usaha Giatmara negeri Pahang membuka peluang kepada bekas pelatih pusat latihan itu yang berpotensi menjadi usahawan melalui Kursus Pembudayaan Keusahawanan (Putek).
Selain diberikan kursus isentif dalam modul keusahawanan dan pengurusan kewangan, peserta terpilih yang melepasi temuduga turut menerima bantuan inkubator berjumlah RM6,500 termasuk latihan, peralatan dan modal mula.
Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, keusahawanan dan Kepenggunaan Negeri, Datuk Sri Shahiruddin Ab Moin berkata, GiatMara menyasarkan 10 hingga 20 peratus pelatih menceburi bidang keusahawanan berdasarkan kemahiran yang diperoleh sepanjang menjalani latihan di pusat tersebut.
Menurutnya, langkah itu satu usaha yang baik sebagai peluang kepada bekas pelatih membina hala tuju dengan kemahiran yang dimiliki.
“Dengan latihan yang diberikan serta bantuan peralatan dan modal mula, kita harap bekas pelatih GiatMara ini mampu memulakan perniagaan sendiri untuk bersaing dengan bangsa lain dalam dunia keusahawanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Kursus Pembudayaan Keusahawan Teknilkal (Putek) GiatMara Negeri Pahang dan Bantuan Inkubator Siri 2/2015 yang dirasmikan Pegawai Penerangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Tosrin Jarvanthi di Tanjung Gemok, baru-baru ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Datuk Mohd Johari Hussain dan pengarah GiatMara Pahang, Sallehhoddin Abu Bakar.
Shahiruddin berkata, beliau bagaimanapun berharap bantuan yang diberikan itu dinaikkan kepada satu jumlah yang lebih sesuai bagi golongan itu memulakan perniagaan.
“Peserta perlu serius dan sentiasa membuka minda supaya segala yang akan diusahakan itu berjaya untuk meletakkan diri sebagai usahawan dan mampu bersaing dengan bangsa lain.
“Bila kita ada kemahiran dan ilmu berkaitan keusahawanan, segala peluang yang disediakan kerajaan dapat direbut dan tidak hanya dikuasai satu kaum sahaja,” katanya.
Menurutnya, bakal usahawan tidak boleh cepat mengalah sebaliknya sentiasa tingkatkan ilmu dan kreatif melahirkan produk bukan hanya
untuk pasaran tempatan tetapi ke peringkat nasional dan global.
“Program ini ternyata memberikan impak positif apabila ramai dari kalangan bekas pelatih giat mara yang menjalani kursus dan menerima bantuan dalam siri sebelum ini berjaya dalam bidang perniagaan yang diusahakan.
“Walaupun tidak semuanya berjaya sehingga ke tahap membanggakan, tetapi prestasi perniagaan mereka sentiasa dipantau untuk mengenal pasti kelemahan dan memperbaikinya supaya ia mampu berkembang dan berjaya,” katanya.
GiatMara memperuntukkan RM591,500 bantuan Inkubator untuk manfaat 91 peserta seluruh negeri tahun ini.
Manakala seramai 30 peserta menyertai kursus modul keusahawanan dan pengurusan kewangan yang berlangsung di Hotel Seri Malaysia, Tanjung Gemok, Rompin.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor