Johor Bahru – Mayat seorang lagi kru kapal korek karam di perairan Pengerang, Kota Tinggi di sini, yang dilaporkan hilang ditemui kira-kira jam 8 pagi semalam menerusi operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada hari kelima pencarian.
Pengarah Operasi Daerah Maritim 7, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), Komander Maritim, Mustafa Kamal Abas berkata, mangsa korban itu ditemui dalam kapal tersebut.
“Operasi SAR hari ini (semalam) dimulakan seawal jam 6.30 pagi oleh anggota penyelam persendirian bersama kapal TLDM KD Handalan yang mula menyelam sejam kemudian.
“Sebaik membuka pintu kapal, anggota penyelamat menjumpai mayat berhampiran pintu kapal kira-kira setengah jam selepas operasi menyelamat digerakkan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurutnya, mayat masih berada di dalam kapal sehingga jam 3 petang kerana pihaknya mengalami masalah untuk membawa naik mangsa.
Mustafa Kamal memberitahu, mayat mangsa akan dibawa ke Jeti Marina Tg Pengelih, di sini.
Seramai lebih 50 anggota dan pegawai termasuk penyelam dari pelbagai agensi bersama dalam operasi SAR di lokasi kejadian dengan menggunakan tiga aset KM Mulia dan Penggalang 15 milik Maritim dan KD Handalan milik TLDM.
Kapal Ocean Line 208 yang berdaftar di Bolivia, dilaporkan karam ketika dalam perjalanan menghala ke perairan Pengerang, akibat dipukul ombak.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 pagi itu, seorang daripada 15 kru kapal korek terbabit terselamat.
Sehingga semalam, tiga mayat termasuk seorang kru dari Malaysia yang bertugas sebagai Pegawai Komunikasi, Raja Mohammad Firdaus, 23, ditemui manakala SAR untuk mencari lagi baki 11 mangsa masih diteruskan.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor