Seorang pemandu lori terkejut selepas semakan polis mendapati dia mempunyai 13 waran tangkap atas pelbagai kesalahan trafik ketika pemeriksaan dalam sekatan jalan raya di Jalan Kuantan-Sungai Lembing di sini, yang bermula pagi tadi.
Semasa ditahan, lelaki berusia 30 tahun itu memberitahu polis bahawa dia hanya memiliki tujuh waran tangkap namun semakan mendapati dia sebenarnya memiliki lebih daripada itu selain 30 saman tertunggak.
Pemandu lori yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu antara enam lelaki yang ditahan kerana memiliki dua hingga 13 waran tangkap dalam Ops Warta Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.
Menurut Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik IPK Pahang, Superintendan Mohamad Noor Yusof Ali, operasi yang dijalankan serentak di tiga lokasi berbeza sepanjang Jalan Kuantan-Sungai Lembing.
"Tumpuan kali ini kepada pemandu lori memandangkan di kalangan mereka yang paling banyak melakukan kesalahan jalan raya dan ia terbukti dengan penahanan pemandu yang mempunyai waran tangkap ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, dalam operasi sama sebanyak 36 saman dikeluarkan kepada pemandu lori yang melakukan pelbagai kesalahan selain lori muatan tanah diserahkan kepada pihak Pejabat Tanah dan Galian (PTG) untuk pemeriksaan lanjut.
"Sepanjang operasi ini, pemandu yang mempunyai waran tangkap cuba berdalih dengan memberi alasan tidak menerima sebarang surat berkaitan atau lupa mereka memiliki saman tertunggak namun alasan itu tidak logik kerana pelbagai kemudahan disediakan untuk tujuan itu.
"Pemeriksaan saman boleh dilakukan melalui perkhidmatan elektronik yang disediakan selain mengunjungi balai atau Pusat Transformasi Bandar (UTC) di kawasan masing-masing," katanya.
Mohamad Noor turut menasihati pemandu lori supaya lebih berhemah ketika berada di jalan raya selain mengambil berat mengenai keadaan keselamatan lori mereka.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor