Pages

Friday, May 8, 2015

KUANTAN : TANGANI PENCEMARAN SUNGAI

Tangani masalah pencemaran sungai


Syarikat Korporat, Petronas Chemicals MTBE Sdn Bhd turun padang melaksanakan tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat di Kampung Nelayan Pantai Balok yang merupakan kampung angkat syarikat berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zamri Jaafar berkata, pelbagai program yang dijalankan di perkampungan tersebut bagi memastikan sumber air yang ada terpelihara.

Menurutnya, sebagai sebuah syarikat korporat yang terlibat dalam sektor gas asli, pihaknya perlu memastikan komuniti setempat yang berdekatan dengan loji tidak terjejas.

“Pada program ini, kita melontar bebola lumpur ke dalam sungai bagi tujuan pemuliharaan sungai Balok.

“Penggunaan bebola lumpur lebih mudah kerana ia dapat mengatasi dan merawat sungai tersebut dengan cepat selain menguraikan lumpur dan menjernihkan kualiti air,” katanya pada Program Cintai Sungai Kita di sini, semalam.

Hadir sama, Adun Beserah, Andansura Rabu dan Ahli Majlis Perbandaran Kuantan, Kamal Zaim.

Zamri berkata, penggunaan bebola lumpur mengandungi mikroorganisma baik kerana ia mampu meningkatkan penumbuhan pokok bakau di kawasan terbabit.

Beliau berkata, pendekatan itu diambil atas kesedaran dan kepentingan memelihara dan memulihara ekosistem marin di kawasan berkenaan yang semakin rosak.

Zamri berkata, Petronas secara proaktif menangani cabaran berkaitan alam sekitar selain meningkatkan tanggungjawab terhadap sungai.

“Sejak beberapa tahun lalu, Petronas melalui program tanggungjawab sosial berjaya menyediakan kemudahan asas di sepanjang Sungai Balok bagi manfaat penduduk," katanya.

Antara kemudahan disediakan adalah Dataran Wawasan dan juga pengadang jeti untuk keselesaan nelayan.

Katanya, projek Gajah Menyusu yang menelan kos RM50,000 siap minggu lalu.




No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor