Tindakan tekong sebuah bot nelayan asing mengemukakan dokumen meragukan sebagai ‘lesen’ untuk mereka bebas menangkap ikan dalam kawasan perairan negara gagal mengelabui mata pihak berkuasa sebaliknya dia bersama 22 awak-awak ditahan kerana disyaki menjalankan aktiviti itu secara haram.
Kegiatan mencuri hasil laut yang didalangi nelayan warga asing itu berjaya dikesan anggota Kapal Ronda Maritim Malaysia Daerah Maritim 8 (Pahang) kira-kira jam 12.40 tengah hari di kedudukan kira-kira 16 batu nautika Tenggara Pulau Tioman, kelmarin.
Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim 8, Kapten Maritim Che Engku Suhaimi Che Engku Daik, berkata, anggotanya yang sedang melakukan tugas rondaan ternampak sebuah bot nelayan asing dalam keadaan mencurigakan sedang menangkap ikan di kawasan tersebut.
Menurutnya, anggota terbabit bertindak menghampiri bot tersebut sebelum melakukan pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan ke atas bot yang menggunakan nombor pendaftaran KG 93397 TS itu mendapati ianya tidak mempunyai lesen menangkap ikan sebaliknya tekong mengemukakan satu dokumen yang mencurigakan.
“Susulan itu, kita bertindak menahan bot bersama tekong dan awak-awak berusia 17 hingga 50 tahun itu untuk siasatan lanjut,” katanya.
Che Engku Suhaimi berkata, semua nelayan terbabit diserahkan kepada pegawai penyiasat dan kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di kawasan perairan Malaysia serta akta lain yang berkaitan.
Menurutnya, sehingga hari ini, DM 8 telah melakukan hampir 500 pemeriksaan dengan 20 tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor