Kota Bharu - Padah cuba tarik perhatian dengan mengacah untuk memukul ibu kerana wang RM60, seorang penganggur didenda RM4,000 atau lapan bulan penjara oleh mahkamah majistret, di sini, semalam.
Wan Muhammad Nazi Wan Ismail, 37, didakwa menakutkan secara jenayah terhadap Halimah Adam, 71, dengan sebatang kayu tongkat di Jalan Sungai Keladi, di sini, pada jam 6.30 petang, 19 April lalu.
Dalam kejadian itu, tertuduh datang ke rumah pengadu (kakak ipar tertuduh) untuk berjumpa Halimah. Tertuduh tidak masuk ke dalam rumah tetapi meminta RM150 dan Halimah hanya beri RM60, dan menyatakan bakinya minta dengan abang tertuduh.
Tertuduh bagaimanapun berang dan mengambil sebatang tongkat di dalam kereta, dan mengatakan mahu memukul semua orang. Ketika tertuduh ke arah pintu, Halimah masuk dan menutup pintu menyebabkan tertuduh beredar.
Ahli keluarga pengadu tidak membuat laporan polis kerana mahu memberi peluang kepada tertuduh, tetapi tindakan tertuduh menceroboh rumahnya pada 26 April lalu menimbulkan kebimbangan. Ibu mertua pengadu juga tidak mahu pulang ke rumah dan hanya tinggal bersama pengadu kerana takutkan tertuduh.
Pada prosiding semalam, tertuduh merayu hukumannya diringankan kerana mendakwa tindakannya itu hanya bertujuan menarik perhatian Halimah.
Dalam perkembangan sama, tertuduh juga dihukum penjara enam bulan kerana kesalahan mencuri telefon bimbit milik abangnya, Wan Nasrun ketika menceroboh rumah pengadu.
Tertuduh dipercayai penagih dadah. Tiada ahli keluarga hadir ke mahkamah itu dan denda tidak dijelaskan.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor