GEORGE TOWN, 15 Mei (Bernama) -- Persidangan hari terakhir Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini telah meluluskan lima usul termasuk cadangan dua calon sebagai Anggota Dewan Negara.
Usul pertama dibentangkan oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng untuk meluluskan pindaan peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat DUN Pulau Pinang.
Lim turut membentangkan usul memohon cadangan dewan untuk menutup tiga Akaun Amanah yang tidak aktif dalam Kumpulan Wang Amanah Kerajaan Negeri iaitu Akaun kira-kira Worksyop Jabatan Kerja Raya (JKR), Akaun Stor Tak Beruntuk dan Akaun Stor Tak Beruntuk Jabatan Kerja Raya.
Datuk Abdul Malik Abul Kassim (PKR-Batu Maung) telah membentangkan usul meminta Kerajaan Persekutuan membatalkan perlaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) kerana didakwa mendatangkan impak negatif kepada ekonomi.
Usul terakhir dibentangkan oleh Lee Khai Loon (PKR-Machang Bubok) untuk mengutuk pendakwaan bermotif politik terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sementara itu, Lim turut mencadangkan Dr Ariffin S.M. Omar dan Siti Aishah Shaik Ismail sebagai Anggota Dewan Negara yang akan berkhidmat selama tempoh tiga tahun bermula 2 Jun ini.
Persidangan DUN negeri yang bersidang sejak 11 Mei lepas, telah ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor