Shah Alam - Pemuda Pas Selangor membatalkan serahan memo ke pejabat DAP Kebangsaan yang dijadualkan esok selepas mendapat arahan daripada Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali.
Bagaimanapun, Ketua pemudanya, Syarhan Humaizi Halim tetap mendedahkan kandungan memo yang sepatutnya diserahkan esok.
“Kami menuntut tiga perkara daripada DAP Kebangsaan iaitu, hentikan segala tuduhan liar terhadap Presiden Pas, Datuk Abdul Hadi Awang dan pimpinan Pas sebagai pengkhianat serta tidak jujur dalam Pakatan Rakyat.
“Telah terbukti dan dijawab segala pertuduhan yang dilemparkan DAP terhadap Presiden Pas dan perjuangan Pas itu sendiri. Jadi sewajarnya DAP memohon maaf,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Selain itu, Syarhan berkata, pihaknya memohon satu penjelasan kritikal terhadap tuduhan yang dilemparkan pada Pas antaranya, “pendirian DAP dan CEC DAP yang memutuskan hubungan dengan Presiden Pas pada 24 Mac 2015 lalu.
“Pada Pemuda Pas Selangor, tindakan CEC DAP itu tidak demokratik dan menghina pilihan yang diambil oleh ahli-ahli Pas yang memilih Abdul Hadi Awang sebagai Presiden Pas,” kata kenyataan itu lagi.
Selain itu, pemuda Pas Selangor juga ingin mengetahui tentang penjelasan dan pendirian DAP terhadap tindakan Ahli Parlimen DAP dari Perak, Nga Kor Ming yang memfitnah Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din dalam Facebook beliau dengan menayangkan poster Haron bersama seorang menteri dengan nada yang menghina.
Di samping itu, Pemuda Pas Selangor juga mahukan penjelasan DAP berhubung tindakan Ahli Parlimen DAP Serdang, Dr Ong Kian Meng yang menuduh Presiden Pas sebagai khianat kerana membawa usul persendirian pindaan Akta Mahkamah Syariah.
“Sedangkan suatu masa dahulu, pada 29 April 2013, Lim Guang Eng dan Salleh Man bersama sama mengakui hak-hak perjuangan yang tidak dipersetujui bersama. Tambahan pula, pindaan yang diusulkan Abdul Hadi Awang tidak melibatkan orang bukan Islam dan dilakukan melalui proses demokrasi.
“Tuduhan khianat Dr Kian Ming adalah sesuatu tuduhan berat dan perlu dijelaskan kepada kami tentang atas asas apa beliau sanggup berkata begitu.
“Dalam pada itu, DAP meyakini kepada demokrasi. Namun DAP cuba menyekat hak kami untuk membawa private bill ini dengan ugutan dan tuduhan kepada presiden dan Pas.
“Oleh yang demikian, kami menuntut agar DAP menghentikan campur tangan terhadap perjuangan Kanun Jenayah Syariah yang di perjuangkan Pas. Undang-undang yang dibawa hanya berkisar dalam Akta Mahkamah Syariah yang hanya tertumpu pada orang Islam dan bukan kepada orang bukan Islam. Jangan sekat hak demokrasi kami untuk membawa private bill ini seandainya DAP percaya kepada demokrasi tulen,” petik kenyataan itu lagi.
Mengulas lanjut Syarhan berkata, adalah jelas hukuman dan undang-undang sedia ada tidak mampu menyelesaikan isu jenayah dan keselamatan rakyat.
“Oleh yang demikian Pas mencadangkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah sebagai penyelesaian. Sekiranya DAP tidak bersetuju dengan penyelesaian kepada masalah jenayah yang dibawa Pas maka kami ingin menuntut DAP mencadangkan penyelesaian kepada masalah jenayah yang berlaku.
“Kami berharap walaupun serahan memo ini terpaksa dibatalkan atas arahan kepimpinan, mesej kami jelas dan sampai kepada pihak DAP Kebangsaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor