Peserta Projek Tanam Semula Felcra Berhad kawasan Anak Endau Rompin bersyukur apabila taraf kehidupan mereka bertambah baik hasil pelbagai bantuan yang dihulurkan agensi itu selama ini.
Salah seorang peserta, Mohd Zin Mohd Nor, 70, berkata, dahulunya rata-rata peserta berada di bawah paras kemiskinan namun hasil usaha Felcra, purata pendapatan mereka kini meningkat sehingga RM1,200 sebulan.
Menurutnya, hasil pendapatan yang agak baik itu, peserta kini mampu hidup dalam keadaan agak selesa berbanding dahulu.
“Dahulunya pendapatan kami tidak seberapa namun atas inisiatif pihak Felcra menghulurkan bantuan tanam semula, pendapatan dijangka akan terus meningkat.
“Kami juga diberikan bantuan sara hidup berjumlah antara RM500 hingga RM1,600 bergantung kepada keluasan tanah yang diusahakan peserta,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Mesra pemimpin Bersama Rakyat dan penyampaian Bantuan Sara Hidup Peserta Projek Tanam Semula Felcra Berhad Kawasan Anak Endau Rompin di sini, kelmarin.
Majlis disempurnakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Mohd Zin berkata, dengan bantuan sara hidup itu, beban ditanggung peserta dapat diringankan memandangkan pendapatan utama dari tanah diusahakan terhenti seketika sehingga tanaman semula yang diusahakan mendapatkan hasil.
“Kami berterima kasih kepada pihak kerajaan dan Felcra atas keprihatinan kepada masyarakat luar bandar dan pekebun kecil dengan bantuan ini,” katanya.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad, Datuk Ramlee Abu Bakar berkata, Felcra Berhad memperuntukkan RM 1.056 juta sebagai bantuan sara hidup itu kepada 779 peserta di Kawasan Anak Endau Rompin sebagai menampung keuntungan tidak dapat dikeluarkan selepas pokok lama ditebang dan ditanam semula.
Menurutnya, tempoh bantuan itu selama empat tahun bagi tanaman kelapa sawit dan enam tahun bagi tanaman getah.
“Daripada jumlah keseluruhan, RM32,302 diberikan kepada 15 peserta di bawah Projek tanam semula Sempayang, RM490,690 kepada 371 peserta di kawasan Anak Endau Tebing Kiri dan RM533, 272 untuk 393 peserta kawasan Pontian tebing Kiri,” katanya.
Beliau berkata, program tanam semula di negeri ini untuk 2015 seluas 5,100 hektar (44 projek) membabitkan 1,670 peserta berbanding tahun lalu seluas 7,851 hektar (3,192) peserta) di 42 projek yang dilaksanakan.
“Bagi daerah Rompin, 19.1 hektar dilaksanakan projek tanam semula membabitkan 21 peserta berbanding 155 hektar (85) peserta untuk 2016),” katanya.
Beliau berkata, keuntungan dari sembilan projek dilaksanakan di kawasan Rompin melibatkan keluasan keseluruhan 2, 314 hektar (1,051 peserta) mencecah lebih RM90 juta.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor