Pages

Wednesday, April 29, 2015

#PRKROMPIN: PENGUSAHA DOBI TIDAK MENANG TANGAN





PRK Rompin bukan sahaja membawa rezeki kepada kedai makan dan runcit di sekitar kawasan ini, malah permintaan terhadap perkhidmatan mencuci pakaian atau kedai dobi turut meningkat.

Kebanyakan pengusaha kedai dobi di sini tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan yang bertambah, hinggakan janji mereka untuk menyiapkan pakaian yang dicuci dalam tempoh 24 jam terpaksa diubah sehingga tiga atau empat hari berikutnya, walaupun cuaca di Rompin sekarang panas terik.

Ketika ditemui Bernama, Norfalizar Mahusain, pemilik Kak Cha Dobi di sini berkata, sejak sebelum hari penamaan calon pada Rabu lepas, kedainya telah mula dibanjiri pelanggan berbanding pada hari biasa.

"Bermula dari hari itu perkhidmatan dobi yang saya usahakan ini semakin bertambah dengan jumlah pakaian sehari yang diterima meningkat sehingga tiga atau empat kali ganda berbanding hari biasa," katanya.

Beliau terpaksa meminta anaknya untuk turut membantu tiga pekerja di kedai dobi itu bagi memenuhi permintaan yang terlalu tinggi.

Jumlah pakaian untuk dicuci semakin meningkat selepas hari penamaan calon, menyebabkan beliau terpaksa membawa pulang ke rumah pakaian pelanggan yang memerlukannya dengan cepat.

Selain itu, Siti Ayu Norfaizah Jan Mohamad, pemilik Dobi Inspirasi Lavender pula berkata kedatangan pelanggan bersempena PRK Rompin ini amat menggalakkan sehingga tidak mampu untuk memenuhi segala permintaan.

"Jumlah pakaian yang dihantar meningkat berganda-ganda berbanding sebelumnya sehingga saya terpaksa menambah masa operasi yang sebelum ini dari 9 pagi hingga 6 petang kepada 9 pagi hingga 9 malam," katanya.

Beliau berkata kebanyakan pelanggan kini datang dari luar Rompin dan beliau berusaha keras untuk memenuhi permintaan mereka.

PRK Parlimen Rompin pada 5 Mei ini menyaksikan calon BN, Datuk Hasan Arifin berdepan calon Pas Nazri Ahmad bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.




No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor