Pages

Friday, April 24, 2015

#PRK PERMATANG PAUH : CALON YANG DISENANGI DAN DI KENALI RAYAT PERMAATANG PAUH




Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang yakin calon dipilih untuk bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh, Suhaimi Sabudin adalah anak tempatan yang memang dikenali dan disenangi oleh penduduk di kawasan berkenaan.

Pengerusi BN negeri Teng Chang Yeow berkata beliau memang mengenali Suhaimi, 43, secara dekat dan mendapati calon berkenaan adalah seorang anak muda yang mempunyai misi dan visi untuk berkhidmat serta membangunkan kawasan Permatang Pauh.

"BN negeri berpendapat calon dipilih ini merupakan calon yang paling sesuai untuk Permatang Pauh...saya mohon pengundi di kawasan parlimen Parlimen itu memberi peluang kepada Suhaimi.

"Saya percaya pengundi di sini (Permatang Pauh) mahukan wakil rakyat mereka anak tempatan yang senang didampingi dan dihubungi pada bila-bila masa dan bukan sekejap ada dan sekejap tiada," katanya kepada pemberita di Bukit Mertajam, Khamis.

BN menamakan Suhaimi yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh sebagai calon bagi PRK Parlimen Permatang Pauh.

Pengumuman dibuat Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis pengumuman calon BN di Bukit Mertajam yang turut dihadiri para pemimpin parti komponen BN.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata pemilihan Suhaimi memang dipersetujui di peringkat UMNO Bahagian Permatang Pauh dan UMNO negeri berikutan kelayakan serta kepimpinannya.

"Memang kami mahukan anak muda untuk bertanding di Permatang Pauh bagi memberi saingan kepada calon PKR dan saya yakin beliau adalah yang terbaik di antara terbaik yang kami ada," katanya.

Beliau berharap penduduk Permatang Pauh dapat memberi sokongan dan memilih Suhaimi sebagai wakil rakyat mereka bagi membolehkan BN membangunkan kawasan itu.

Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata beliau berterima kasih kepada pucuk pimpinan kerana memilih Suhaimi sebagai calon kerana memang menjadi matlamat UMNO bahagian berkenaan untuk meletakkan calon berpotensi pada PRK itu.

"Tidak timbul isu saya kecewa tidak dipilih sebagai calon, keazaman saya ketika ini adalah mengetuai jentera BN bagi memastikan Suhaimi menang pada PRK Permatang Pauh kali ini.

"Saya yakin dan percaya Suhaimi yang terlibat secara aktif dengan UMNO sejak 1992 mampu memberi saingan hebat kepada calon lain pada PRK ini. Beliau adalah orang muda dan mempunyai pengalaman politik," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan proses penamaan calon bagi PRK itu pada 25 April manakala hari pengundian 7 Mei.











No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor