Pages

Friday, April 17, 2015

MARAN: AWASI SALAH LAKU DI SUNGAI PAHANG

Awasi salah laku di Sungai Pahang
 
 
Penduduk kampung terutama nelayan diminta peka terhadap sebarang aktiviti salah laku menangkap ikan di Sungai Pahang dan berganding bahu membanteras kegiatan tersebut.

Pengarah Perikanan Pahang, Adnan Hussain berkata, kesedaran penduduk semakin meningkat dan ia perlu dilakukan secara berterusan bagi memastikan sumber ikan di sungai tidak terjejas yang akhirnya merugikan golongan itu.

Menurutnya, terdapat penduduk yang prihatin dan berani menegur individu terlibat dengan kegiatan haram itu selain penguatkuasaan jabatan perikanan.

“Aktiviti menuba, bahan letupan, guna arus elektrik dan alatan perangkap ikan yang salah di sisi undang-undang hanya memberi kesan kepada pembiakan ikan sekali gus menjejaskan pendapatan nelayan.

“Saya akui banyak aduan diterima dan ia menunjukkan orang ramai semakin peka dengan perbuatan tidak bertanggungjawab ini kerana mahu memastikan kawasan kampung bebas dari aktiviti sedemikian.

“Namun diingatkan, jangan ambil tindakan sendiri sekiranya berjaya menangkap individu yang dipercayai sedang melakukan kegiatan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan perasmian penutup Program Peningkatan Kemahiran Asas Penyelenggaraan Enjin Sangkut Dan Pelepasan Benih Ikan Peringkat Daerah Maran, di sini.

Penghulu Mukim Luit 2, Saharil Apindi Ahmad berkata, penduduk juga diminta tidak memandang ringan perkara tersebut dan sedia melaporkan kepada pihak perikanan kerana ia membabitkan sumber rezeki mereka.

Menurutnya, keprihatinan penduduk dapat mengurangkan aktiviti tersebut sekali gus membantu menstabilkan ekosistem sungai.
 

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor