Pages

Thursday, April 9, 2015

DUA JIRAN DIDENDA KERANA BERGADUH


mahkamah



Petaling Jaya - Akibat bergaduh sehingga mencederakan sesama sendiri, dua jiran masing-masing didenda RM300 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini. 

Majistret Salamiah Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap perunding audit wanita S.Kalbana, 36, dan peniaga Mohd Zuraimi Mazleh, 44, serta memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara tiga hari jika gagal membayar denda itu. 

Kedua-dua tertuduh membayar denda itu.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Salmiah mengingatkan kedua-dua tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan itu dan berbaik semula.

"Jangan bergaduh lagi, hanya kerana kesalahan kecil ini kamu berdua didakwa di mahkamah dan sudah ada rekod kesalahan," katanya. 

Mengikut pertuduhan, Kalbana dan Mohd Zuraimi, didakwa bergaduh dan mengganggu ketenteraman awam di hadapan rumah mereka di Persiaran Wangsa Baiduri 4 SS 12/1, Petaling Jaya di sini pada 10.50 pagi 17 Mac lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, Mohd Zuraimi meletakkan keretanya di hadapan rumah jirannya yang menghalang laluan keluar sebelum Kalbana meminta Mohd Zuraimi mengalihkan kenderaan itu.

Namun, berlaku pergaduhan antara mereka apabila Mohd Zuraimi mendakwa Kalbana membuang najis binatang di tingkap keretanya.

Terdahulu, ketika rayuan meringankan hukuman Kalbana memaklumkan bahawa Mohd Zuraimi telah melakukan provokasi terhadapnya sebelum berlaku pergaduhan antara mereka dan memohon hukuman ringan manakala Mohd Zuraimi hanya memohon denda terhadapnya dikurangkan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Di mahkamah sama, seorang peguam mengaku tidak bersalah mengugut seorang peguam lain dengan mengeluarkan kata-kata ugutan hendak menyebabkan cedera parah dan kematian.

A. Suayri, 53, didakwa mengugut Datuk Suraj Singh Jaswant Singh, 43, di Lake View Club SS12, Subang Jaya, Jalan SS 12/1 Subang Jaya di sini pada 11.35 malam 24 Mei tahun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret Salamiah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Mei depan untuk sebutan.

Suayri diwakili peguam Esther Tan Siew Choo.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor