Pages

Thursday, April 23, 2015

DRON ATAS BUMBUNG PEJABAT PM


Dron atas bumbung pejabat PM Jepun


Tokyo - Sebuah dron membawa kamera kecil dan botol air serta ditandakan dengan isyarat radioaktif ditemui di atas bumbung pejabat Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, semalam.

Menerusi rakaman udara stesen televisyen NHK di tempat kejadian menunjukkan, dron ditutupi dengan plastik biru dan puluhan anggota polis juga dapat dilihat mengelilingi objek berkenaan.

"Polis mendapati tahap radiasi adalah rendah dan tidak berbahaya kepada manusia. Skuad bom juga telah dipanggil untuk menguruskan dron itu," menurut stesen TV sambil memberitahu objek berdiameter kira-kira 50 sentimeter ditemui seorang pegawai di pejabat terbabit.

Ketika ini, Abe berada di Indonesia untuk menghadiri sidang kemuncak Asia-Afrika, dan pegawainya bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai insiden itu.

Dalam perkembangan lain, mahkamah Jepun menolak permintaan penduduk bagi mendapatkan injunksi untuk menghalang reaktor nuklear berhampiran gunung berapi di selatan negara yang masih aktif daripada dihidupkan semula.

Keputusan Mahkamah Daerah Kagoshima dibuat selepas Kyushu Electric Power Co bercadang untuk mengaktifkan kembali Stesen Kuasa Nuklear Sendai terletak 1,000 kilometer di barat daya Tokyo, Julai depan.

Kedua-dua unit itu akan menjadi yang pertama di kalangan 48 reaktor Jepun yang akan dihidupkan kembali selepas kemalangan nuklear terburuk negara empat tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor