Pages

Sunday, March 22, 2015

TUN RAHAH, PEMIMPIN DAN HUDUD


Kita jangan seperti anak ayam kehilangan ibu, sejarah baharu hudud bermula. Bukan semua ibu, mom, umi atau mama bersifat keibuan, lemah lembut, memupuk, mengasuh, memelihara dan membela dengan penuh kasih sayang begitu juga bukan semua wanita bercirikan kewanitaan.

Kita disuruh menyayangi dan menghormati ibu bapa. Kita diberi ingatan selalu bahawa kunci pintu syurga di bawah tapak kaki ibu. Margaret Thatcher, Perdana Menteri wanita British pertama (1925-2013), jarang menyebut ibunya, Beatrice, tetapi sering menyebut bapanya, Alfred Roberts, sebagai sumber inspirasinya. Masjid Ar Rahah di bandar Kerinchi dinamakan sempena ibu begitu juga Masjid Ayesha di Kok Lanas, Kelantan.

Atas permintaan ramai, saya menulis berkenaan isteri Tun Razak pula iaitu Rahah binti Haji Noah, Tun semenjak 1976 dan sekarang berusia 82. Orang Melayu cepat dan mudah lupa sejarah, personaliti dan jasa pejuang, ikon dan perdana menteri apatah pula isteri mereka. Walhal lazimnya isterilah di belakang suami yang berjaya. Ramai sudah pun dilupakan- hilang dari ingatan. 

Selain Tun Sharifah Rodziah, isteri Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Rahah dan Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, ramai lagi wanita Melayu yang boleh dianggap sebagai the women behind their successful husbands.

Lee Kuan Yew menyatakan pendorong dan penasihat terdekatnya adalah isterinya, Kwa Geok Choo. Manakala, Presiden George W.Bush - Presiden AS ke-43 menulis biografi bapanya, George H.W. Bush, presiden AS ke-41 bertajuk 41- A Portrait of my Father.

Kita tidak boleh memilih ibu atau bapa tetapi kita bisa pilih isteri! Peranan isteri - baik buruk, keibuan atau sebaliknya- besar terletak pada kita suami. Begitu juga pendidikan anak.

Saya mula mengenali Tun Razak waktu itu Datuk dan Tun Rahah, masa itu Datin, bulan Disember 1954 apakala saya dijemput oleh adik Tun Razak, Abdul Latiff (sekarang Datuk Seri, jutawan dan dermawan), rakan sekolah di MCKK, tinggal di rumah abangnya, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang di Kuala Lipis beberapa hari sebelum saya meneruskan perjalanan pulang ke Kelantan melalui keretapi Sumpitan Emas.

Masih segar dalam ingatan Tun Rahah mendukung anak sulungnya, Najib, yang baru berumur dua tahun (lahir 23 Julai 1952) kali pertama kami bersua.

Perkenalan itu berkembang dan terus subur selepas 1957 tatkala saya bertugas sebagai wartawan dan menjadi pegawai Tun Razak hinggalah Tun Razak kembali ke Rahmatullah. Persahabatan saya dengan keluarga Tun Razak terus, penuh muhibah hingga ke hari ini.

Selama 14 tahun tidak putus-putus saya berkhidmat dengan Tun Razak, saya mengenali Tun Rahah dan familinya, dari sudut apa yang disifatkan oleh Speaking, "from a vantage point” yakni pada pemandangan terbaik, melihat, memerhati, mengetahui dan belajar serta menilai, pendapat, sikap, tingkah-laku, kekuatan, kelemahan, etos, dalam kehidupan dan matlamat mereka.

Tun Rahah telah memendek persekolahannya di Convent Johor Bahru kerana berkahwin (arranged marriage) dengan Tun Razak pada 4 September 1952 dan tinggal di Kuala Lipis, waktu itu ibu negeri Pahang.

Berpindah ke Kuala Lumpur selepas Pilihan Raya Umum Persekutuan pertama Julai 1955 dan kekal di Kuala Lumpur hinggalah kini. Tun Rahah dan Tun Razak hidup bahagia, aman, sejahtera dan dikurniakan lima anak lelaki.

Hanya satu sahaja hajat mereka tidak dikabulkan oleh ALLAH SWT: keinginan mereka mahu seorang anak perempuan. Apa pun Tun Rahah ramai cucu lelaki dan perempuan. Sayang dan amat sedih Tun Razak tidak sempat menimang cucu kerana Najib berumah tangga selepas ayahandanya kembali ke alam baqa.

Saya perhati, baik Tun Rahah dan Tun Razak, tidak bersifat cepat gembira, tidak cepat ceria sebelum sesuatu maksud tercapai, seperti kata orang tua, belum duduk sudah berlunjur.

Sepanjang pengetahuan saya, Tun Rahah seorang isteri, ibu dan wanita yang baik, tidak cerewet, pendiam dan malu dengan orang yang beliau kurang kenal dan rapat, bersopan-santun, diplomatik dan menawan.

Beliau tidak pernah mengganggu dan campur tangan urusan dan tugas saya dengan suaminya serta dalam hal politik dan pentadbiran walaupun saya sedar ramai yang menghasut dan cuba to subvertnya.

Beliau percaya, saya yakin, saya berkhidmat dengan jujur dan taat setia untuk suaminya, parti, kerajaan dan bukan ada agenda peribadi atau ada udang di sebalik batu. 

Keikhlasan dan budi baiknya terhadap saya telah ditunjuknya apabila sebelum saya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Tun Rahah telah menelefon pengganti suaminya dan juga abang iparnya, Datuk Hussain Onn, di depan saya dan beberapa staf di kediamannya di Jalan Eaton dan telah meminta Hussain supaya menimbang semula cadangan menahan saya kerana penahanan itu, suka-duka, akan menjejas imej suaminya.

Beliau diherdik oleh abang iparnya. Saya amat menghormati Tun Rahah kerana beliau sedar, mengerti dan faham saya mangsa keadaan politik masa itu. 

Dalam politik, kerajaan juga dalam kehidupan peranan isteri/gundik amat genting (crucial). Empayar runtuh, kerajaan musnah kerana kerenah wanita! Ada juga pemerintahan makin kuat, gagah dan popular sebab wanita/isteri/gundik di belakang pemimpin itu.

Justeru bukan semua wanita tidak baik; bukan semua pula baik. Kadang-kala pemimpin itu berselindung di belakang isteri/gundiknya sama ada dia benar-benar lemah atau hanya berlakon tidak berdaya atau lembek. 

Tatkala ini nampaknya suasana politik dalam negara makin celaru walaupun masih terkawal lagi. Saya bimbang - sebenarnya takut- jika tidak kena buat dan kalau krisis keyakinan berterusan kita akan seperti anak ayam kehilangan ibu.

Agak lega sedikit kerana ada ikrar terus menyokong kerajaan dari 13 presiden parti komponen BN. Mereka sebulat suara, termasuk Umno, mahu Najib terus pimpin negara. 

Hudud menggamit, sejarah baharu bermula

Hudud adalah hukum yang telah ditentukan bentuk dan kadarnya oleh ALLAH SWT. Setelah dibeku selama dua dekad Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah 1993 (Pindaan 2015) telah diluluskan sebulat suara oleh Dun Negeri Kelantan- 31 Adun Pas, 12 BN dan satu PKR - tengah hari Khamis.

Namun perjalanan hudud sebelum dapat dilaksanakan, baik di Kelantan apatah lagi di seluruh Malaysia, masih panjang. Undang-undang itu mesti dibentang di Parlimen dan mesti dipersetujui oleh dua pertiga undi sebelum jadi undang-undang.

Pendekatan secara dakwah dan pendidikan wajib dilakukan secara terperinci agar umat Islam khasnya faham undang-undang syariah hudud ini.

Majoriti orang Kelantan, saya percaya, ceria dengan kelulusan undang-undang ini apatah lagi selepas banjir kabir di negeri itu lewat tahun lalu. Ini adalah permulaan sahaja.

Oleh kerana Islam untuk semua- Islam is for all- tidak mustahil masa kemuka undang-undang hudud bukan sahaja untuk orang Islam. 

Dari segi praktikal politik, saya tidak terfikir Pakatan Rakyat akan pecah akibat kelulusan undang-undang hudud ini.

Lagi pun ini baru satu tapak permulaan seperti kata Speaking, “This is only the first step of a long journey that may take decades to reach the destination”.

Lagi pun apakah principle atau dasar lebih penting daripada kemenangan kerusi dalam PRU14?

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor