Paras air Sungai Pahang yang semakin cetek disebabkan cuaca panas yang melanda negeri ini menyebabkan penternak ikan sangkar berdepan risiko baharu selepas berdepan risiko sangkar dihanyutkan arus deras banjir hujung tahun lalu.
Penternak ikan sangkar kali ini berdepan pula dengan risiko kematian akibat suhu air yang tinggi selain di beberapa kawasan kritikal mereka berdepan dengan sangkar ikan tersadai di atas pasir.
Beberapa penternak ketika ditemui memaklumkan paras air yang sangat cetek menyebabkan mereka terpaksa menyelamatkan lebih 10,000 benih ikan patin yang baharu diternak kira-kira sebulan lalu.
Penternak Aminudin Ahmad, 43, berkata, dia terpaksa memindahkan sebanyak 16 sangkar ikan miliknya ke kawasan lebih dalam bagi mengelakkan kesemua sangkar ikan miliknya tersadai di atas pasir.
Menurutnya, sekiranya dia lewat dan gagal memindahkan ikan dalam tempoh dua minggu dari sekarang dia berhadapan dengan kerugian sekurang-kurangnya RM60,000.
“Saya tidak jangka paras air tahun ini lebih cetek dari tahun lepas, saya kerugian sekitar RM18,000 akibat cuaca panas tahun lalu dan bimbang sekiranya keadaan kali ini lebih teruk dari tahun lalu.
“Keadaan cuaca panas yang sangat teruk kali ini menyebabkan penternak gagal mendapat pulangan modal dalam tempoh tiga ke empat musim kebelakangan ini.
“Kami juga merasakan faktor cuaca yang tidak menentu kebelakangan ini akan memberikan kesan kepada restoran yang menyediakan menu ikan patin yang sudah tentu bergantung kepada hasil kami,” katanya.
Seorang lagi penternak Basiron Ramli 51, berkata, paras air Sungai Pahang dan keadaan dasar sungai berubah sama sekali selepas banjir besar hujung tahun lalu.
Menurutnya, kawasan yang sebelum ini dalam dan menjadi tumpuan pemilik sangkar kini bertukar cetek dan begitu juga sebaliknya kawasan cetek berubah menjadi dalam.
“Penternak akan menanggung kerugian yang besar sekiranya cuaca panas ini berterusan sehingga beberapa bulan lagi. Kami akan rugi besar jika cuaca panas dan air sungai berterusan kering,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor