TABIK saya untuk Datuk Abdul Rahman Dahlan yang ingin melihat lebih banyak taman awam. Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, seluas 67,000 hektar telah disasarkan untuk pembinaan taman awam di seluruh negara menjelang 2020. Setakat 2013 sejumlah 14,988 hektar telah dibangunkan untuk taman awam.
Setuju benar saya apabila menteri itu berkata: “Taman-taman awam merupakan akses penting untuk rakyat menjalani gaya hidup sihat, terutamanya penduduk di kawasan bandar.”
Tambah beliau perancangan perlu dibuat untuk meningkatkan pembangunan taman di seluruh negara sebagai satu prasyarat bagi Malaysia mencapai kriteria negara maju menjelang 2020.
Hasrat menteri itu amat baik. Tentu sekali peruntukan RM juta-juta telah dibelanjakan untuk membina taman-taman awam. Tetapi maaf cakap, banyak taman-taman awam kita tidak diurus dengan baik, sesetengahnya bertaraf haprak. Kalau tidak percaya singgahlah di mana-mana taman awam, kita akan dapati keadaannya terlalu jauh untuk menepati apa yang dikatakan ‘akses penting untuk rakyat menjalani gaya hidup sihat.’
Di kawasan perumahan tempat saya tinggal ada tiga taman awam. Dua dekad lalu ketika mula dibuka, saya dan anak-anak kerap meluangkan masa hujung minggu duduk di taman, menikmati keindahan pohon-pohon rendang dan padang hijau untuk bersantai.
Sesekali saya menyertai kumpulan penduduk berjoging keliling taman untuk mengeluarkan peluh. Atau, sengaja duduk di bangku bersama rakan sejemaah untuk berborak kosong, menjalin silaturahim.
Tetapi keadaan sekarang tidak lagi macam dulu-dulu. Saya tidak berasa nyaman duduk di mana-mana taman awam berhampiran rumah. Ternyata penduduk semakin ramai – termasuk pendatang asing – perangai dan kerenah pun macam-macam, maka taman yang dulu cantik kini semakin tidak terurus.
Pertama, kesalahan pihak berkuasa tempatan kerana gagal menguruskan taman. Nampak macam PBT tidak ada perancangan yang betul. Pokok yang rendang tiba-tiba ditebang tidak tahu apa sebabnya. Bukan mudah menghidupkan pokok setinggi itu, tetapi dalam sekelip mata dimusnahkan dengan jentera. Taman yang teduh pun menjadi panas. Jangankan manusia, hantu dan pelesit pun tidak tahan lepak dalam keadaan panas!
Sampah tidak dipungut mengikut jadual. Taman yang sepatutnya menjadi tempat berehat kini menyakitkan mata, menyesakkan nafas dan meloyakan tekak. Timbunan sampah berbau busuk dan menjadi tempat tikus, lipas, lalat, nyamuk dan lain-lain serangga perosak. Sebab itu aedes mudah membiak, dan mangsa denggi terus meningkat di Selangor.
Kedua, kesalahan orang ramai kerana tidak menghargai taman. Penduduk sekitar menjadikan taman awam sebagai tempat membuang sampah. Apa sahaja disepahkan di taman – kulit pisang, kulit durian, pembungkus makanan, kotak rokok, tin dan botol arak, hatta tuala wanita dan sependa buruk. Ada tong sampah disediakan PBT, tetapi penyangak lebih suka membuang sisa dan kekotoran di luar tong sampah.
Apa yang lebih menyakitkan hati ialah ada yang ke taman awam bersama anjing, pada hal telah dinyatakan tidak boleh membawa haiwan tersebut ke taman. Saya tidak kisah sekiranya mereka pandai mengawal haiwan kesayangan itu, dan tahu menghormati hak orang lain yang berkunjung ke taman.
Tetapi mereka tidak tahu mengawal anjing, membiarkan haiwan tersebut kencing dan berak sesuka hati, di mana sahaja, termasuk di laluan orang berjoging. Najis anjing bertompok-tompok di merata taman. Tersilap langkah boleh terpijak tahi anjing.
Berjoging pun kena berhati-hati jika tidak kasut joging terkena najis berat.
Pernah sekali saya menegur seorang yang membawa anjing: “Maaf encik, anjing encik berak di tepi bangku, menganggu orang lain.” Dengan selamba dia menjawab: “Dia anjing, mana dia tahu! Dia boleh berak di mana saja...” Saya sakit hati dengan sikap tidak prihatin orang itu dan berkata: “Tetapi encik bukan anjing, encik patut tahu ini padang untuk semua orang!”
Saya melihat di beberapa negara maju, khasnya di England, Perancis, Jepun, hatta Singapura, mereka yang membawa anjing untuk bersiar akan mengawasi haiwan berkenaan. Jika anjing mereka berak, tuan punya anjing akan mengutip najis haiwan berkenaan, memasukkan dalam kertas atau plastik untuk dibuang dalam tong sampah.
Itu contoh insan di negara maju. Kita pun hendak melangkah ke taraf negara maju. Tetapi dalam hal tahi anjing dan sampah-sarap di taman awam, fikiran dan perbuatan sesetengah orang kita belum maju, malah masih amat primitif.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor