Hulu Terengganu - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyiasat stesen radio perniagaan berbahasa Inggeris BFM yang memuat naik klip video menyindir pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, stesen radio seharusnya mematuhi garis panduan yang ditetapkan dalam syarat lesen termasuk dari segi etika perbincangan.
"Walaupun BFM adalah radio yang bersiaran secara online, kita perlu memastikan setiap maklumat yang hendak dikongsi kepada masyarakat mengandungi kandungan yang berasas dan tepat.
"Saya serah kepada SKMM dan PDRM untuk mengambil tindakan sewajarnya walaupun BFM telah meminta maaf dan berharap pihak lain mengambil iktibar daripada kejadian ini," katanya.
Jailani bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Mengubah Destini Anak Bangsa Parlimen Hulu Terengganu yang dihadiri lebih 200 bekas pelajar sekolah menengah di sini, hari ini.
Beliau juga mengingatkan semua stesen radio dan televisyen untuk sentiasa berhati-hati dalam menyalurkan pandangan, khususnya dalam sesuatu isu supaya tidak mengelirukan masyarakat.
"Kita tak mahu ada pihak menyalurkan pandangan secara peribadi yang boleh mengelirukan masyarakat dan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia terdapat beberapa peruntukan yang membolehkan tindakan terhadap individu yang berbuat demikian," katanya.
BFM memuatnaik video berdurasi 1 minit 56 saat yang memaparkan seorang pengacara menyindir pelaksanaan undang-undang Islam itu, sehingga menimbulkan kemarahan pengguna laman sosial.
Semalam, stesen radio itu menarik semula klip video itu dan memohon maaf dan berkata mereka tidak berniat untuk mempersoalkan hudud, sebaliknya hanya mengajak penonton video untuk bertanyakan soalan berkaitan pelaksanaan hudud, serta isu banjir besar yang melanda Kelantan baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor