Kuala Lumpur - Keluarga mangsa pesawat MH370 berpegang pada kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Malaysia akan tetap meneruskan pencarian pesawat malang tersebut.
Isteri kepada kru MH370, Jaquita Gonzales melahirkan keyakinan itu dan beranggapan pesawat berserta penumpang termasuk suaminya, Patrick Gomes berada di suatu tempat yang masih belum ditemui oleh pasukan pencari.
“...mereka tidak ditemukan lagi, jadi, pasti mereka ada di suatu tempat,” katanya.
Ketika ditanya soal laporan yang menyebut Australia mencadangkan pengecilan pencarian itu, Jaquita berkata, “saya ada dengar tentang cadangan untuk kecilkan pencarian yang dengan kata lain ia akan berhenti, tapi saya berpegang kepada janji bahawa pencarian itu tidak akan berhenti sehingga pesawat itu ditemui.”
Sementara, seorang warga China, Kelly Wen, memberitahu beliau masih terus berharap agar suaminya yang hanya ingin dikenali sebagai Li itu akan kembali dengan selamat ke pangkuannya.
“Saya masih berharap suami saya dan penumpang lain dapat kembali dengan selamat. Saya juga berharap kerajaan Malaysia akan meneruskan pencarian...tidak berhenti,” katanya.
Manakala, ayah kepada kru MH370, Mohd Hasnan Kamaruddin turut melahirkan harapan sama dan meminta agar pencarian diteruskan sehingga sebarang bukti ditemui.
“Walaupun negara luar akan kecilkan atau berhenti tapi Malaysia jangan buat begitu. Teruskan pencarian. Sekurang-kurangnya biar ada bukti baru kami puas hati. Jangan berhenti selagi tidak jumpa,” katanya.
Begitu juga dengan Kamariah Sharip, ibu kepada penumpang MH370, Mohd Razahan Zamani yang mahukan bukti walau secebis mayat untuk meyakinkannya.
“Saya marah bila orang ucap takziah sebab pada saya, dia (Mohd Razahan) ada lagi. Tapi kalau betul dia dah tak ada, secebis mayat pun jadilah sebagai bukti,” luahnya.
Hari ini, genap setahun pesawat milik MAS yang membawa 239 penumpang termasuk anak kapal dalam penerbangan ke Beijing hilang namun misi pencarian masih diteruskan sehingga hari ini.
Hari ini juga, kumpulan sokongan keluarga mangsa MH370 ini bertemu dalam Hari Peringatan MH370.
Pada majlis sama, petisyen ‘Search On’ yang akan dihantar ke Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) turut dijalankan bagi menggesa pencarian itu diteruskan.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor