Pages

Sunday, March 29, 2015

MARA BANTU PELAJAR BUAT PILIHAN


Mara bantu pelajar buat pilihan


Ipoh – Majlis Amanah Rakyat (Mara) terus optimis membantu golongan bumiputera dalam pendidikan dengan penganjuran Karnival Pendidikan Mara (KPM) 2015 di Halal Park Tambun, di sini semalam.

Karnival bertemakan Wadah Impian bermula sejak awal Mac itu diadakan di Kuala Lumpur, Melaka, Pulau Pinang, Kelantan dan kini Perak manakala April depan ia berlangsung di Johor, Pahang, Terengganu, Kedah dan Sabah.

Pengarah Mara Perak, Teh Arfah Kamarulzaman berkata, karnival itu antara langkah diambil untuk memberikan pendedahan kepada pengunjung mengenai peluang melanjutkan pengajian sehingga peringkat tertinggi.

“Saya percaya masih ramai tidak tahu luasnya peluang pendidikan disediakan Mara dan di Perak kita adakan dari 27 hingga 29 Mac, selama tiga hari.

“Melalui karnival ini, kita mahu bumiputera tahu mereka berpeluang melanjutkan pengajian dan jangan melepaskan peluang disediakan Mara,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian karnival yang disempurnakan oleh Exco Kerajaan Negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria itu.

Teh Arfah berkata, karnival tersebut menjadi medan penyatuan dalam mendekatkan warga Mara dengan masyarakat terutamanya di negeri ini.

Katanya, Mara ingin membantu pelajar membuat pilihan tepat mengenai bidang pengajian bersesuaian dengan personaliti, minat dan kelayakan akademik mereka.

“Sepanjang karnival ini, kami turut mengadakan penerangan mengenai pendidikan dan kerjaya bagi memberi panduan serta hala tuju kepada lepasan SPM,” katanya.

Sementara itu, Mohd Nizar berkata, pengunjung boleh mendapatkan informasi mengenai program dan kemudahan pendidikan ditawarkan oleh institut pendidikan di bawah agensi tersebut.

“Karnival ini juga beri peluang kepada pelajar dan ibu bapa meninjau peluang pendidikan dan latihan disediakan Mara dan institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

“Program seperti ini membantu pelajar membuat keputusan dalam menentukan pilihan pendidikan berdasarkan kelayakan dan minat,” katanya.

Beliau berkata, penekanan terhadap pendidikan amat penting dalam usaha kerajaan mencapai matlamat melahirkan generasi masa depan berilmu serta mampu membawa kemajuan sosial dan ekonomi negara.

Mohd Nizar berkata, menerusi pendidikan, sesebuah keluarga itu dapat mengubah kehidupan menjadi lebih baik secara kolektif, sekali gus membantu negara agar lebih progresif.

“Kerajaan negeri dan Pusat bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk meningkatkan taraf pendidikan di negara ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor