Kulim - Walaupun sudah banyak kes penipuan melibatkan permainan kutu dilaporkan namun, masih ramai masyarakat sanggup mengambil risiko menyertainya.
Kini, aktiviti ini mula diperluaskan melalui laman sosial seperti Facebook dan ia bukan hanya untuk mendapatkan wang malah turut mendapatkan barangan yang diinginkan.
Pemain kutu online, Haziqah Aziz, 32, berkata, permainan ini dapat membantunya memperoleh barangan dengan mudah walaupun tidak mempunyai wang mencukupi pada ketika itu.
Katanya, ia juga perlu diteliti dan mendapatkan banyak maklumat daripada ibu kutu atau yang akan memegang wang ahlinya sebelum menyertai permainan terbabit supaya tidak tertipu.
“Memang banyak kumpulan kutu yang diwujudkan di Facebook, taip sahaja kutu akan keluar bermacam-macam, sama ada berbentuk wang tunai atau barangan.
“Tapi kita kena bijak, jangan mudah percaya sebaliknya teliti terlebih dahulu sebelum menyertai. Saya lebih berminat kepada barangan elektrik seperti ketuhar dan sebagainya termasuk barangan bayi. Kalau nak beli secara tunai harga agak mahal jadi apabila bermain kutu, setiap bulan kita bayar harga barangan terbabit secara ansuran,” katanya.
Bagi Azimah Hassan, 27, permainan kutu melalui pulangan wang tunai ini memang berisiko kerana tawaran yang dibuka kepada pengguna Facebook terlalu ramai.
“Pulangannya memang lumayan ada sehingga RM15,000 namun, ia terlalu ramai ahli sehingga berpuluh-puluh orang dan sudah tentu tidak mengenali antara satu sama lain.
“Walaupun saya pernah terdengar dan terbaca mengenai risiko bermain kutu online ini namun, saya sanggup mengambil risikonya kerana mahu wang cepat. Setiap bulan saya hanya perlu bayar RM100 selama setahun atau dua tahun mengikut jumlah wang yang diperoleh,” katanya.
Katanya, setakat ini kumpulan kutu yang disertainya boleh dipercayai dan tidak bermasalah manakala ibu kutu juga sentiasa bertanggungjawab terhadap ahlinya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor