Dua program keusahawanan dalam bidang automotif dan penternakan lebah membabitkan generasi belia Felda akan diwujudkan di negeri ini dalam masa terdekat.
Projek keusahawanan automotif mendapat kerjasama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) manakala penternakan lebah mendapat kelulusan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda Negeri, Datuk Abu Bakar Harun berkata, program tersebut direncanakan sebagai usaha melahirkan usahawan Melayu dari kalangan generasi belia Felda.
Menurutnya, projek perintis penternakan lebah akan dimulakan di Felda Chini, Pekan melibatkan 20 peserta.
“Peserta yang terpilih akan jalani kursus dan diberi pinjaman modal oleh Tekun sebanyak RM50,000 setiap seorang.
“Projek ini akan dilaksanakan di kawasan ladang kelapa sawit dan pada peringkat awalnya, sebanyak 25 sarang lebah akan diusahakan bagi setiap peserta,” katanya.
Abu Bakar berkata, bagi setiap sarang, dijangkakan keuntungan untuk satu pusingan mencecah RM1,000 dan RM25,000 keseluruhan jika hasil diperoleh baik.
“Kita memilih untuk menternak lebah jenis Akasia yang dilihat mampu menghasilkan kualiti dan kuantiti madu lebih baik,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya berjaya, projek itu akan diperluaskan ke Felda Wilayah lain selain membuka peluang kepada generasi belia Felda yang berminat untuk fasa kedua.
“Perusahaan ini dilihat berpotensi bagi menampung keperluan madu dalam negara di mana sekarang ini, kita mengeksport 2900 matrik tan madu setiap tahun,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Pengerusi Majlis Belia Felda peringkat cawangan dipertanggungjawabkan untuk mengenal pasti pengusaha bengkel kenderaan dan penjual alat ganti di kawasan masing-masing untuk menjalani pemilihan program usahawan automotif.
Menurutnya, peserta terpilih akan diberikan kursus selain bantuan-bantuan lain yang diperlukan.
“Kita ingin lihat, generasi belia Felda berdaya saing dalam bidang ini atau sekurang-kurang menjadi pengusaha bengkel dan pembekal alat ganti kenderaan utama dalam kawasan masing-masing.
“Ia juga satu usaha untuk membuka peluang dan minda usahawan dari kalangan belia Felda untuk keluar dari kepompong dan meneroka pasaran luar yang lebih terbuka,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor