Pages

Tuesday, March 24, 2015

KUANTAN: PPDNKK BUKA BILIK GERAKAN AMBIL ADUAN GST


PPDNKK buka bilik gerakan ambil aduan GST


Kuantan – Pengguna dinasihatkan menyimpan resit pembelian setiap kali melakukan urusan jual beli dan melihat kembali sama ada harga barang yang dikenakan tersebut terdapat tambahan enam peratus Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebelum penguatkuasaannya bermula 1 April depan.

Timbalan Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Pahang, Alwi Abd Hamid berkata, pengguna harus lebih peka dengan keadaan ini dan jangan bertindak membayar sahaja, namun meneliti kembali harga memandangkan bimbang ada penjual yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan mengelirukan pengguna.

“Setakat ini kita tidak mendapat sebarang aduan yang serius mengenai peniaga yang menaikkan harga dan memulakan GST.

“Namun kita tidak menolak kemungkinan terdapat sesetengah peniaga ada yang cuba mengelirukan pengguna melalui perlaksanaan GST, sebagai contoh mereka mengelirukan sama ada ‘government service tax’ atau ‘goods and service tax’ ia sama sahaja menggunakan singkatan GST.

“Peniaga harus mempamerkan harga berserta cukai dengan nama penuh dan tidak mengelirukan pengguna, namun sekiranya terdapat perlaksanaan GST sudah dimulakan perkara tersebut memang salah dan sekiranya aduan diterima tindakan segera akan dikenakan serta dakwaan terus dibuat di bawah Anti Pencatutan dan Kawalan Harga,” katanya kepada pemberita di Pejabat PPDNKK Pahang, di sini, semalam.

Menurutnya, pihak PPDNKK sentiasa tampil dan bertindak melakukan pemantauan sekiranya adanya aduan yang membabitkan kenaikan barang sama ada melibatkan GST atau tidak.

“Menjelang perlaksanaan GST April depan, PPDNKK Pahang membuka bilik gerakan bagi mengambil aduan dan kemusykilan berkaitan GST yang beroperasi bermula hari ini (semalam) sehingga 30 Jun 2016 dari pada jam 8 pagi hingga 10 malam.

“Semua pihak yang berhadapan masalah GST boleh membuat aduan namun perlu membawa bukti atau maklumat yang lengkap membolehkan kita membuat siasatan terperinci dengan secepat mungkin.

“Dalam pada itu, pengguna boleh mengambil buku Panduan Harga Pengguna zon timur yang boleh didapati di pejabat PDNKK di Wisma Belia Indera Mahkota atau di Pusat Transformasi Bandar (UTC) secara percuma,” katanya.

Sementara itu, Alwi berkata, sehingga Mac ini, sebanyak lapan peniaga diberikan notis tunjuk sebab kerana menaikkan harga barangan keperluan menjelang GST dalam Ops Catut yang dijalankan PPDNKK Pahang, baru-baru ini.

Alwi berkata, kesemua notis tersebut telah diberikan dan diserahkan melibatkan pemborong dan peruncit yang disyaki menaikkan harga tanpa pencatutan dan melanggar syarat-syarat berniaga sebelum ini.

“Mereka diminta menjawabnya paling singkat dalam tempoh tiga hari bagi mengelakkan tindakan undang-undang dikenakan ke atas mereka," katanya.

Bagaimanapun, katanya pihak PPDNKK akan meneliti kembali jawapan balas daripada peniaga-peniaga berkenaan.

“Kita akan ambil tindakan di bawak Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 sekiranya peniaga terbabit didapati dengan sengaja menaikkan harga sesuaka hati," katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor