Pages

Thursday, March 5, 2015

KUANTAN: ORANG ASLI CEMERLANG DIBANTU


Orang Asli cemerlang dibantu


Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pahang akan membantu menguruskan kemasukan pelajar Orang Asli menyambung pengajian mereka sama ada di universiti tempatan dan luar negara.

Pengarah Jakoa Pahang Isa Abdul Hamid berkata, setiap tahun jumlah pelajar orang Asli yang berjaya mencatat keputusan cemerlang pada peperiksaan peringkat rendah dan menengah terus bertambah.

Menurutnya, saban tahun ada pelajar Orang Asli dinobatkan sebagai pelajar cemerlang yang diumpamakan sebagai kejayaan luar biasa untuk golongan minoriti tersebut.

“Pelajar yang berjaya pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun ini boleh memilih sendiri institut pengajian tinggi (IPT) yang sesuai dengan minat masing-masing.

“Terlebih dahulu, mereka perlu mendapatkan bantuan daripada guru kaunseling yang boleh memberikan cadangan sesuai terhadap bidang pengajian bersesuaian dengan kelulusan mereka,” katanya.

Selain itu, beliau mengharapkan agar jumlah pelajar Orang Asli yang berjaya dalam peperiksaan peringkat rendah dan menengah terus bertambah sebarus dengan pelajar dari kaum yang lain.

Beliau menjelaskan bagi pelajar yang tinggal jauh di pedalaman kemudahan pengangkutan untuk membawa mereka keluar termasuk wang saku turut disediakan agar mereka selesa dan semangat untuk terus ke sekolah.

“Pejabat Jakoa daerah akan terus memantau pencapaian pelajar orang Asli terutama apabila mereka melangkah ke peringkat menengah,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan tujuh pelajar orang Asli yang berjaya mencatat keputusan cemerlang pada
peperiksaan SPM dan STPM 2014 di pejabatnya, di sini.

Isa berkata, seramai 14 pelajar mencatat keputusan 6A ke atas pada peperiksaan SPM dan lapan pelajar meraih kejayaan cemerlang pada STPM 2014 dan mereka berpeluang melanjutkan pengajian di universiti tempatan dan luar negara.

“Tahun lalu seramai 541 pelajar orang Asli menduduki peperiksaan SPM dan 20 orang mengambil STPM, mereka belajar di sekolah menengah biasa termasuk sekolah berasrama penuh (SBP) seluruh negeri.

“Selain berpeluang melanjutkan pelajaran di universiti tempatan dan luar negara, pelajar terbabit juga layak menerima biasiswa daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA) termasuk pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN),” katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor