Pages

Thursday, March 26, 2015

KUANTAN: NAFI DAKWAAN MASIH ADA PUSAT JUDI


Nafi dakwaan masih ada pusat judi


Polis mengambil perhatian serius terhadap aduan segelintir pihak termasuk individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung kegiatan mesin judi yang didakwa terus wujud di daerah ini.

Bagaimanapun hasil pemantauan berterusan yang dijalankan mendapati dakwaan itu tidak benar malah pihak yang mendakwa juga gagal memberikan kerjasama dalam penyaluran maklumat secara tepat.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz berkata, sebelum ini sebuah NGO, Jaringan Melayu Malaysia (JMM) melalui presidennya Azwanddin Hamzah membuat laporan polis mendesak polis mengambil tindakan terhadap kegiatan mesin judi yang didakwa terus wujud di bandar Kuantan terutama sekitar Jalan Wong Ah Jang.

Menurutnya, susulan laporan itu, pihaknya membuat siasatan dan mendapati dakwaan itu tidak benar kerana tiada pusat judi yang dikesan.

“Saya juga ada menghubungi beliau untuk mendapatkan penjelasan lanjut dan maklumat tepat berhubung dakwaannya itu.

“Kita kesal apabila polis gagal mendapatkan kerjasama walaupun beliau berjanji untuk memberikan maklumat namun sehingga ke hari ini tiada sebarang maklum balas diberikan,” katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Peringatan Hari Polis Ke-208 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, semalam.

Abdul Aziz berkata, pihak polis mengharapkan kerjasama orang ramai dalam penyaluran maklumat bukan sahaja membabitkan judi tetapi sebarang unsur jenayah.

“Melalui maklumat tepat yang disalurkan, kita akan bertindak bagi memastikan kegiatan itu dapat dibendung,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya agak kesal jika ada pihak membuat tohmahan dan melemparkan tuduhan melulu terhadap isu yang tidak benar termasuk menuduh polis menutup mata dan melindungi kegiatan itu.

“Pihak polis tidak pernah berdiam diri malah sentiasa mengambil perhatian serius berhubung perkara ini namun tanpa maklumat, agak sukar untuk kita mengambil tindakan,” katanya.

Pada 15 Mac lalu, JMM membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan mendakwa masih menerima aduan daripada orang ramai melalui email dan panggilan telefon berhubung kegiatan mesin judi di Pahang termasuk Kuantan khususnya sekitar Jalan Wong Ah Jang.

Laporan polis yang dibuat sempena Kempen Hapuskan Jenayah Mesin Judi itu turut mendesak polis mengambil tindakan lebih tegas terhadap kegiatan itu dan membanterasnya habis-habisan.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor