Kompleks Mahkamah di sini semalam kecoh apabila seorang pengarah urusan sebuah syarikat perumahan ditemui rebah di dalam tandas lelaki di tingkat bawah mahkamah berkenaan.
Lee Yit Fah, berusia 56 tahun itu dikatakan hadir ke mahkamah kerana urusan berkaitan projek perumahan dan mahu bertemu peguamnya.
Sementara itu, anaknya, Lee Kin Yip berkata, dia menerima panggilan kira-kira jam 10.30 pagi yang memaklumkan bapanya rebah di mahkamah dan terus berkejar ke lokasi bersama ibunya.
Katanya, sebaik tiba di situ, bapanya sedang menerima rawatan kecemasan oleh petugas hospital sebelum disahkan meninggal dunia.
“Bapa ada sakit jantung dan pernah membuat pembedahan jantung beberapa tahun lalu,” katanya.
Mayat Yit Fah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, polis menerima panggilan yang memaklumkan mengenai kematian seorang lelaki di dalam tandas berhampiran Mahkamah Trafik di Kompleks Mahkamah.
Menurutnya, polis mendapati mayat terbaring dalam keadaan terlentang berhampiran tempat membuang air kecil.
“Siasatan awal mungkin lelaki berkenaan terhuyung-hayang sebelum disambut beberapa orang awam dan pengawal keselamatan bertindak menghubungi anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (Jpam),” katanya.
Beliau berkata, bagaimanapun, mangsa disahkan mati selepas kakitangan hospital tiba di tempat kejadian dan doktor mengesahkan Yit Fah meninggal dunia akibat sakit jantung.
Katanya, mangsa yang beralamat di Bandar Indera Mahkota dekat sini meninggalkan seorang isteri dan dan empat anak.
Polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor