"Jauh di sudut hati kami nak lihat dia gembira, sihat dan normal serta cukup makan minum seperti kanak-kanak lain, tetapi apa daya kami," kata ibu muda, Siti Noorbadariza Che Nai, 28, yang gigih menjaga anak lelaki sulungnya Mohamad Ismadi, 11, yang disahkan mengidap sakit saraf sejak dilahirkan.
Menurutnya, demi anak sulungnya itu, dia dan suami, Mukamad Zaki Kamaruddin, 31, sanggup hidup berjauhan dalam mencari sumber rezeki bagi menyara keempat-empat anak terutama Mohamad Ismadi yang memerlukan kos lebih tinggi berbanding adik-adiknya.
“Saya mengandungkan Ismadi dulu memang normal dan tidak ada masalah langsung tetapi keadaannya yang lumpuh dan mengalami sakit saraf itu, menurut doktor disebabkan ia lemas sebelum dilahirkan.
“Kekurangan oksigen menyebabkan dia dikatakan mengalami lumpuh otak dan sekali gus dilahirkan tidak normal seperi kanak-kanak lain.
“Sejak lahir dia hanya terbaring sahaja dan fizikalnya agak kurus dan seolah-olah kekejangan namun sebaliknya Ismadi juga boleh tersenyum dan memahami apa yang kita cakapkan padanya,” katanya kepada pemberita, ketika lawatan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Shahaniza Shamsuddin ke beberapa rumah mereka yang kurang bernasib baik di sekitar Taman Datuk Rashid Salleh, Jalan Pintasan Kuantan-Kemaman, dekat sini, semalam.
Siti yang juga merupakan suri rumah, tidak bekerja kerana tidak mahu Ismadi dijaga oleh orang lain dan merasakan susah senang biarlah dia bersama anaknya itu.
“Lagi pun nak jaga Ismadi bukan senang, kena jaga dia sama macam bayi, dia tak boleh bercakap dan bila lapar atau nak tukar lampin akan menangis macam bayi.
“Anak-anak saya yang lain pun faham keadaan abang mereka, walaupun masih kecil dalam lingkungan umur tiga dan lapan tahun namun mereka banyak tolong saya menjaga abangnya, sementara suami saya bekerja di kampung, Maran sebagai penoreh getah,” katanya.
Menurutnya, setakat ini kehidupan mereka hanya cukup makan kerana wang banyak dihabiskan untuk Ismadi sedangkan pendapatan seorang penoreh getah adalah tidak menentu.
“Suami hanya mampu menghantar duit kepada saya sebulan dalam RM200 sahaja dan selebihnya saya mengharapkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 bagi membeli keperluan Ismadi termasuk lampin dan susu khas sekitar RM400,” katanya.
Tambahnya, setakat ini tidak pernah menerima sebarang sumbangan daripada mana-mana pihak dan hanya daripada JKM sahaja.
“Saya pun bukan nak meminta-minta namun kalau ada rezeki saya terima kerana Ismadi memang memerlukan sedikit kewangan bagi membolehkan dia menerima rawatan kembali.
“Sebelum ini saya ada bawa dia ke hospital tetapi dah dihentikan kerana sudah tidak mampu untuk berulang-alik,” katanya.
Sementara itu, Shahaniza berkata, kerajaan negeri sentiasa prihatin dengan nasib dan keadaan rakyat terutama yang kurang bernasib baik, kunjungan mesra tersebut dilakukan untuk melihat sejauh mana keadaan mereka bagi menilai kembali keperluan yang diperlukan.
“Walaupun ada di antara mereka sudah mendapat perhatian dan sumbangan daripada JKM dan mana-mana agensi namun kita harus juga turun padang bagi melihat dengan lebih dekat keadaan mereka dan dengan cara ini dapat bertindak dengan lebih cepat.
“Mungkin ada di antara mereka yang memerlukan lebih daripada yang diperoleh jadi kita hadir dan tengok apa yang boleh diberikan kerana bila kita lihat dengan mata kita sendiri kita boleh tahu apa yang diperlukan sebagai contoh lampin pakai buang, makanan, susu, sukarelawan dan banyak lagi.
“Ini merupakan inisiatif Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob yang meminta kunjungan mesra diadakan ke kawasan-kawasan tertentu bagi mengelakkan rakyat tercicir dalam menerima bantuan kerajaan dan dengan cara ini saya yakin kami dapat membantu lebih daripada yang diperlukan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor