Pekebun sayur diingatkan supaya tidak menaikkan harga jualan produk keluaran mereka hanya untuk mengejar keuntungan berlipat kali ganda hingga membebankan pengguna.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, tindakan pekebun menaikkan harga sayuran secara berlebihan mengundang kesan buruk terutama kepada pengguna.
Menurutnya, kerajaan menyediakan pelbagai bantuan input pertanian kepada golongan berkenaan bertujuan untuk membantu pekebun seterusnya membolehkan mereka menjual hasil keluaran pada harga berpatutan.
“Kadang-kadang sikap pekebun yang cuba mengaut keuntungan berlipat kali ganda menyebabkan pengguna tertekan seterusnya menyebabkan mereka menyalahkan kerajaan.
“Saya berharap pekebun sayur di negeri ini tidak bersikap tamak dan cuba mengaut keuntungan secara berlebihan sebaliknya mematuhi harga yang ditetapkan,” katanya pada majlis penyerahan bantuan input pertanian kepada 97 petani Dun Inderapura di perkarangan pejabat pertanian daerah, di sini, kelmarin.
Shafik Fauzan berkata, kerajaan menyenaraikan 73 pelbagai produk seperti sayuran, buah-buahan, ikan dan daging yang perlu diikuti peniaga namun masih terdapat dalam kalangan mereka tidak mematuhinya.
Katanya, kerajaan sentiasa berusaha membela nasib pekebun sayur dengan cara menyediakan pelbagai bantuan input pertanian secara berterusan selain kemudahan pinjaman dan insentif pengeluaran.
“Justeru bagi membalas apa yang diberikan kerajaan pekebun perlu mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh agensi yang bertanggungjawab dalam sektor pertanian.
“Penguatkuasaan oleh agensi bertanggungjawab mendedahkan pekebun bersikap tamak kepada tindakan undang-undang kerana menaikkan harga produk sayuran,” katanya.
Pada program berkenaan, setiap pekebun terdiri daripada penanam sayuran dan buah-buahan menerima bantuan baja, racun, benih, pam racun racun dan tali junjung bernilai RM500 daripada pejabat pertanian daerah.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor