Pages

Sunday, March 22, 2015

KUALA LIPIS : SASAR TOREH 14 HARI SEBULAN

Sasar toreh 14 hari sebulan




Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) mengambil pelbagai pendekatan bagi membantu pekebun kecil getah berhadapan harga komoditi yang tidak stabil.

Ketua Pengarah Risda, Datuk Wan Zuki Mohamad berkata, antara usaha yang dilakukan untuk meningkatkan produktiviti getah termasuklah penjagaan kawasan yang baik, pembajaan sistematik dan penggunaan alat rangsangan torehan getah.

Menurutnya, kekerapan torehan juga amat digalakkan dalam meningkatkan hasil dengan sasaran torehan sebanyak 14 hari sebulan.

"Kita dapat membantu menstabilkan pendapatan pekebun kecil sewaktu harga getah jatuh melalui peningkatan produktiviti.

"Contohnya kalau dahulu hasil susu getah mereka hanya 1,000 kilogram tetapi selepas melaksanakan pendekatan ini, hasil mampu ditingkatkan sehingga sekali ganda," katanya selepas Majlis Pelancaran Penorehan dan Penyampaian Dividen kepada peserta Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Agropolitan Gahai di sini, kelmarin.

Hadir sama, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Shafik Fauzan Sharif dan Ketua Pengarah Jakoa, Datuk Hasnan Hassan.

Wan Zuki berkata, penanaman tanaman kontan seperti nangka dan mangga yang mula dilaksanakan di kebun juga dilihat membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil.

Menurutnya, pihak Risda turut menyalurkan bantuan galakan kepada pekebun kecil bagi menanam tanaman kontan di kawasan kebun getah masing-masing.

"Selain merangka pelbagai pendekatan bagi meningkatkan produktiviti getah, kita turut memberi bantuan kewangan RM2,500 sehektar kepada petani untuk penanaman tanaman kontan," katanya.

Sementara itu, beliau berharap kesemua 503,000 pekebun kecil di negara ini akan melaksanakan pelbagai pendekatan baharu yang dilaksanakan pihak Risda dari semasa ke semasa bagi meningkatkan pendapatan masing-masing.

Menurutnya, pihak Risda akan sentiasa memantau bagi membantu dan membela nasib pekebun kecil getah di seluruh negara dengan pelaksanaan pelbagai program dan pendekatan.



No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor