Pages

Wednesday, March 11, 2015

KUALA LIPIS : 50 TAHUN TINGGAL DALAM PONDOK

50 tahun tinggal dalam pondok


“Buat sementara, pada waktu malam pakcik hanya menumpang tidur di serambi masjid memandangkan pondok usang yang dibina sejak 50 tahun lalu dikhuatiri ranap menyembah bumi bila-bila masa kerana tiangnya sudah dimakan anai-anai.

Demikian luah warga emas, Abd Karim Abd Majid, 61, ketika menceritakan keadaan pondoknya yang uzur di mana struktur binaannya agak tinggi manakala tiangnya diikat pada batang pokok berdekatan, malah dinding lama mulai reput cuma diikat dengan rotan.

Abd Karim yang masih bujang kini tinggal di Kampung Kuala Kechau, di sini berharap agar hasratnya mendiami rumah baharu di kawasan yang lebih selamat kesampaian memandangkan pondok buruknya pernah ditenggelami banjir Sungai Kechau pada tahun lepas.

“Pakcik bimbang struktur lantai pondok usang di tepi Sungai Kechau ini tidak tahan dan reput manakala tiangnya mulai condong dan bergoyang-goyang apabila menaiki tangga dan memasuki ruang dalam kediaman ini.

“Sebenarnya, pakcik bersyukur kerana sudah dijanjikan oleh pihak berkuasa untuk diberi sebuah rumah baharu dibina di tapak yang lebih selamat selepas kejadian banjir tahun lepas.

“Pakcik harap rumah baharu direalisasikan dengan segera kerana tidak tahan lagi tinggal di pondok uzur ini yang sudah condong dan boleh runtuh bila-bila masa terutamanya ketika berlaku ribut,” katanya di Kampung Kuala Kechau di sini, semalam.

Abd Karim yang bekerja sebagai penoreh getah dan menangkap ikan sungai berkata, dia khuatir projek rumah baharu pasca banjir yang dijanjikan belum kesampaian kerana sehingga ini masih tidak tahu di mana lokasi projek berkenaan.

Warga emas yang juga penerima bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu berkata, dia tetap menunggu dengan sabar dan mengharapkan kediaman baharu segera disiapkan sepertimana yang diuar-uarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melawat mangsa banjir di daerah ini pada awal bulan lepas.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pemuda Umno Lipis, Mohd Fazli Dzulkifli, 32, berkata, Abd Karim sewajarnya sudah lama diberikan bantuan memandangkan dia hidup sebatang kara, uzur dan lebih membimbangkan keadaan pondoknya pada bila-bila masa boleh menyembah bumi.

“Kita prihatin dengan kebajikan Abd Karim dan sedaya upaya untuk menghulurkan bantuan meringankan beban belanja makanan dan perubatannya,” katanya.




No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor